Pages

  • RSS

Saturday, February 1, 2014

nifaaq

Menelusuri Surah Al Hadid, seakan-akan Tuhan sedang berbicara tentang diriku. Hati terasa disiat-siat bila baris demi baris ayat itu kutatap dalam-dalam.

Mu'min kah aku? Atau munafiq kah?

Mungkin juga itulah rasa hati yang dialami oleh para sahabat tatkala surah ini diturunkah pada 4 tahun selepas hijrah. Teguran dari Allah yang turun melalui Rasulullah kali ini bukan teguran biasa-biasa. Dalam komuniti masyarakat muslim di Madinah yang hidup bersama Rasulullah SAW di samping mereka, masih belum terlepas dari satu penyakit hati.

Nifaaq.

Bahkan 6 ayat pertama di dalam surah ini semata-mata berkisar tentang tauhidullah dan ma'rifatullah. Aneh. Bukankah ini ayat madaniy? Di mana sasaran kelompok yang ditujukan adalah masyarakat muslim yang hidup di dalam negara Islam di Madinah yang menjadikan Muhammad SAW, utusan terakhir sebagai ketua negara. Seharusnya keimanan mereka kepada Allah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Namun hakikatnya tidak. Penyakit nifaaq yang amat merbahaya ini turut menular dikalangan masyarakat Islam di Madinah. Sehinggakan wahyu turun untuk menegur dan mempersoalkan keimanan para sahabat ketika itu.

Maka, apatah lagi kita yang hidup di akhir zaman yang penuh fitnah ini, tanpa Rasulullah SAW di sisi. Apakah kita mampu selesa dengan imaan di dalam hati. Yakinkah kita sudah terlepas dari penyakit yang satu ini?

مَّن ذَا ٱلَّذِى يُقۡرِضُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا فَيُضَـٰعِفَهُ ۥ لَهُ ۥ وَلَهُ ۥۤ أَجۡرٌ۬ كَرِيمٌ۬ 
11. Barangsiapa yang meminjamkan Allah dgn pinjaman yang baik, maka Allah akan mengembalikannya berlipat ganda untuknya, dan baginya pahala yang mulia

Ayat 11 ini lebih mengetuk jiwa. Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Agung dan pemilik setiap zarah dalam tubuh kita bahkan pemilik sekelian alam mahukan PINJAMAN dari kita, seorang hamba yang tak punya apa-apa bahkan hina. Pinjaman dan infaaq yang dituntut dalam bentuk harta, masa muda, priority, tenaga dan fikiran, agar semuanya diserahkan ke jalan Allah. Bahkan Allah menjamin bahawa Dia akan membalas pinjaman yang kita berikan ini dengan ganjaran yang lebih besar.

Hairan. Sedangkan semua yang kita 'miliki' di dunia ini hakikatnya anugerah dan pinjaman sementara dari Allah. Dan kita masih lokek dan kedekut untuk menggunakannya untuk dakwah dan jihad fisabilillah.

Kita merasa bakhil untuk memperuntukkan masa muda kita untuk dakwah ini. Kita mencipta pelbagai alasan untuk tidak turut serta bersama kafilah dakwah ini. Kita menjauhkan diri dan tidak mahu bersama-sama memikul beban dakwah yang maha berat ini. 

Kita merasakan dakwah dan tarbiyyah itu bukanlah priority, ia hanyalah aktivisme yang dilakukan pada waktu-waktu lapang. Dakwah hanyalah satu trend di alam universiti, tidak lebih daripada itu. Apabila kesibukan mula menjengah, dakwah bukanlah lagi menjadi keutamaan.

Kita lupa bahawa hakikat menggabungkan diri dengan dakwah adalah dengan menjadikan dakwah sebagai kehidupan. Apabila dakwah adalah nadi, segala fikiran, tindak tanduk, pilihan, masa, kesungguhan bahkan segala aspek dan persimpangan dalam keidupan seharusnya dibuat atas pertimbangan dakwah.

Kemalasan dan ketidaksungguhan kita di dalam dakwah ini, dilindungi dan dibayangi dengan gahnya jemaah dakwah yang kita sertai. Bergabung dengan dakwah pada definisi kita hanyalah dengan mengisi borang keahlian jemaah, hanyalah cukup dengan posts dan status 'islamik' di muka buku, hanyalah sekadar memastikan nama kita berada di dalam 'Usrah Tree' di kawasan kita. Tanpa perlu mengerahkan keringat, harta dan fikiran untuk dakwah ini,untuk memastikan kelangsungan dakwah ini terus berjalan.

Maka, masih layakkah kita untuk mengaku diri sebagai mu'min yang beramal? Atau apakah hakikatnya nifaaq sudah merajai hati ?

Teguran Allah datang lagi pada ayat berikutnya. Kali ini Allah membawa kita melihat gambaran keadaan dua golongan ini di akhirat kelak. Mu'min yang benar-benar beramal ataupun munafiq yang sekadar berpura-pura.

يَوۡمَ تَرَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَسۡعَىٰ نُورُهُم بَيۡنَ أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِهِم بُشۡرَٮٰكُمُ ٱلۡيَوۡمَ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَا‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ

12. Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan disamping kanan mereka, (dikatakan kepada mereka), "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung."

Segala keperitan dan kesusahan yang dialami di dunia oleh para mujahid dakwah, akhirnya mendapat ganjaran yang sangat istimewa dan kerehatan yang abadi di syurga. Hari pembalasan yang gelap itu disinari dengan cahaya yang terpancar dari keimanan yang benar, dan amal-amal soleh yang dilakukan di dunia dengan penuh ikhlas.

يَوۡمَ يَقُولُ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ وَٱلۡمُنَـٰفِقَـٰتُ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱنظُرُونَا نَقۡتَبِسۡ مِن نُّورِكُمۡ قِيلَ ٱرۡجِعُواْ وَرَآءَكُمۡ فَٱلۡتَمِسُواْ نُورً۬ا فَضُرِبَ بَيۡنَہُم بِسُورٍ۬ لَّهُ ۥ بَابُۢ بَاطِنُهُ ۥ فِيهِ ٱلرَّحۡمَةُ وَظَـٰهِرُهُ ۥ مِن قِبَلِهِ ٱلۡعَذَابُ 

13. Pada hari orang-orang munafiq lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang beriman, "Tunggulah kami! Kami ingin mengambil cahayamu." (Kepada mereka) dikatakan, "Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)." Lalu di antara mereka dipasang dinding (pemisah) yang berpintu. Di sebelah dalam ada rahmat dan di luarnya ada azab.

Keadaan yang sebaliknya berlaku pada golongan munafiq yang ketika didunia mereka mengaku beriman dan mengaku sebagai daie, namun hakikatnya tidak. Mereka mengharungi kegelapan akhirat dan azab dari Tuhan dengan penuh derita. Dua golongan ini dipisahkan dengan dinding yang membezakan antara rahmat Tuhan dan kesengsaraan yang bakal diterima, walaupun di dunia mungki mereka pernah hidup bersama.

Bahkan dikatakan pada golongan munafiq ini apabila mereka cuba mendapatkan cahaya dari golongan beriman untuk menerangi kegelapan akhirat, 

قِيلَ ٱرۡجِعُواْ وَرَآءَكُمۡ فَٱلۡتَمِسُواْ نُورً۬ا 

"Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)"

Begitu sinis ungkapan yang digunakan. Seolah-olah dikatakan kepada munafiq, kembalilah kamu ke dunia untuk mencari sendiri cahayamu. Bukankah ketika hidup dahulu kamu menjadikan al hawa' sebagai ilah, kamu menjadikan dunia sebagai priority dan tujuan, dan kamu melupakan kehidupan akhirat? Bukankah di dunia dahulu kamu begitu sibuk dengan kerjaya, pelajaran, kamu sibuk memenuhi keperluan nafsumu, nafsu untuk mengumpul harta, nafsu kepada lelaki dan wanita, nafsu kepada kerehatan dunia. Maka apa gunanya kamu mahu mencari cahaya di akhirat kini?

يُنَادُونَہُمۡ أَلَمۡ نَكُن مَّعَكُمۡ‌ۖ


14. Orang-orang munafiq memanggil orang-orang mu'min ,"Bukankah kami dahulu bersama kamu?"

Munafiqun mula merayu kepada golongan yang beriman. Bukankah ketika hidup di dunia dahulu kita bersama-sama dalam jemaah dakwah? Bukankah kita pernah seusrah, pernah bersama-sama menghadiri daurah, jaulah atau katibah? Bukankah kita pernah sama-sama duduk berqodhoya, meeting sehingga lewat malam, memikirkan masalah ummah dan merancang planat dakwah? Mengapa pengakhiran kita di akhirat ini berbeza?


قَالُواْ بَلَىٰ وَلَـٰكِنَّكُمۡ فَتَنتُمۡ أَنفُسَكُمۡ وَتَرَبَّصۡتُمۡ وَٱرۡتَبۡتُمۡ وَغَرَّتۡكُمُ ٱلۡأَمَانِىُّ حَتَّىٰ جَآءَ أَمۡرُ ٱللَّهِ وَغَرَّكُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ

14. Mereka menjawab "Benar, tetapi kami mencelakakan dirimu sendiri, dan kamu hanya menunggu, meragukan (janji Allah) dan ditipu oleh angan-angan kosong sampai datang ketetapan Allah; dan penipu (syaitan) datang memperdaya kamu tentang Allah."

Ya, mungkin di dunia kita PERNAH menggabungkan diri dengan dakwah ini. Namun, sejauh mana keistiqamahan kita untuk terus all out dalam dakwah ini, itu yang membezakan. Adakah kita tetap teguh ketika ujian kesibukan, harta, dan keluarga datang, atau adakah kita tersungkur jatuh dan gugur dari kafilah dakwah ini?

Kita dibisikkan dengan janji-janji dan harapan palsu daripada syaitan. Tak mengapa tak buat dakwah. Fokus belajar dan kerjaya dahulu. Umur masih muda. Ramai lagi orang lain lagi layak untuk buat dakwah. And the list goes on..

Hakikatnya, kita yang mencelakakan diri kita sendiri. Yang menjerumuskan kita ke dalam jurang neraka kerana tergolong dalam mereka yang ada nifaaq di dalam hati.

Na'uzubillah min zaalik. Moga dijauhkan dari tergolong dalam golongan munafiq.
Dan moga diberi keistiqamah dan keteguhan dalam beramal, dalam menjadikan jihad dan dakwah sebagai nadi kehidupan sehinggalah mati menjemput kita.

Wa astaghfirullah wa atuubu ilayk.

Sumber: Surah Al Hadid, ayat 1-16