Pages

  • RSS

Saturday, August 15, 2009

fastabiqul khayrat !

ini adalah sambungan bagi entri sebelum ini; muqorrabun.

mungkin ada yang merasakan mustahil untuk mencapai apa yang kita impikan, iaitu menjadi golongan muqorrabun, yakni golongan yang dekat dengan Allah, di akhirat nanti.

ya, mereka ada kualifikasi dan kriteria yang tersendiri.ada yang diceritakan Allah menerusi kitabNya, dan ada juga menerusi hadith-hadith Rasulullah SAW.

mereka empunya kisah mereka yang tersendiri, sehinggakan diberi pengiktirafan, dan diabadikan kisah mereka dalam Al-Quran. sedang kitab suci kita itu, surahnya hanya 114 buah surah, ayatnya hanya 6236 ayat (terdapat khilaf di sini), dan didalam kitab yang serba lengkap ini, segalanya perlu diceritakan kepada umat Muhammad.Aqidah, Akhlaq, Syariat, Seerah umat terdahulu,kisah-kisah umat mendatang, hari kiamat, syurga, neraka, dan macam-macam lagi.

jadi,mustahil Allah akan memasukkan kisah-kisah yang langsung tiada kepentingan bagi manusia yang membacanya,bukan?

dan apa pula kualifikasi dan kriteria yang menobatkan mereka sebagai golongan muqorrabun?

mereka ini, golongan yang sentiasa mengimpikan jannah. seperti kita juga, yang saban waktu selepas solat, pasti kita panjatkan doa supaya tergolong dalam ahl jannah.
namun, mereka bukan sekadar berdoa dan berangan-angan untuk ke jannah.

they work for it!

mereka adalah golongan;

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ

10.mereka adalah golongan yang mendahului kita, dalam beriman kepada Allah SWT, dan mendahului kita masuk ke dalam syurga. (alwaqiah)

golongan yang hebat, dan memiliki satu perangai yang serupa,

yakni sentiasa berlumba-berlumba untuk mendapatkan syurga!

ini kisah mereka.

ini kisah pemburu syurga.



KISAH 1

terdapat 2 orang pemuda lelaki di zaman rasulullah saw, yang sentiasa bersaing antara satu sama lain dalam beramal ibadah. jika si A berpuasa 2 hari, si B berpuasa sunat 3 hari. jika si A berpuasa setiap hari isnin dan khamis, si B berpuasa selang sehari. jika si A membaca Al-Quran 1juzu' sehari, si B akan membaca 2 juzu' pula.mereka sentiasa akan berusaha untuk menandingi antara satu sama lain.

pada satu hari, ketika panggilan jihad tiba, keduanya tanpa lengah terus mendaftarkan diri untuk turut sama berjihad. dan seperti yang diinginkan, keduanya terpilih untuk menjadi mujahidin di barisan hadapan perang.

ditakdirkan Allah, salah seorang daripada pemuda itu ditangkap dan ditawan oleh pihak musuh. dia disiksa dengan dahsyat, dan apabila dia merasakan ajalnya hampir tiba, pemuda tersebut ketawa dengan tiba-tiba.musuh yang menyiksanya terpinga-pinga.

' kenapa kau ketawa? adakah kau gila? padahal kau sedang menunggu maut datang kepadamu !'

' aku ketawa kerana aku sangat gembira.selepas ini aku akan mati. semestinya aku telah berjaya menandingi sahabatku, kerana aku telah mencapai kemuncak keimanan, yakni syahid !' dia menyambung tawanya.
Bold
dengan marah orang kafir itu berkata,

' apa kena dengan kamu semua hai orang islam? pemuda yang aku bunuh sebelum ini pun berkata seperti kamu !'

serta-merta si pemuda menangis teresak. menangis kerana rupa-rupanya sahabatnya telah menandinginya, telah syahid terlebih dahulu sebelumnya !

dan dia tetap juga berjaya meraih syahid, setelah dibunuh oleh si kafir tersebut.


KISAH 2

Masyitah, seperti yang diketahui ramai kisahnya, merupakan ibu kepada 5 orang anak, dan anak bongsunya masih menyusu badan. Masyitah juga merupakan tukang sikat rambut kepada anak fir'aun. dia telah beriman kepada Allah secara sembunyi, tatkala fir'aun dengan angkuhnya memerintahkan rakyatnya mengakuinya sebagai Tuhan.

ketika Masyitah sedang menyikat rambut anak fir'aun, ditakdirkan Allah sikat itu jatuh, dan Masyitah tanpa sengaja telah melafazkan kalimah "Allah".

si anak bertanya, ' siapa Allah? Adakah Allah itu ayahku, Tuhan kamu?'

'Tidak. Allah itu Tuhanku, bahkan Tuhan kamu dan Tuhan ayahmu'

si anak terus melaporkan peristiwa itu kepada ayahnya. fir'aun yang angkuh lantas memanggil Masyitah mengadapnya.
'benarkah kau mempunyai Tuhan selain daripada aku?'

'ya, bahkan Tuhanku adalah Tuhanmu juga, dan Tuhan seluruh alam ini'

fir'aun menjadi berang.dia memerintahkan disediakan sebuah kawah minyak yang besar, yang dipanaskan di atas api dan dibiarkan panas menggelegak. seorang demi seorang anak-anak Masyitah dicampakkan ke dalam kawah minyak yang panas itu, namun Masyitah masih mempertahankan keimanannya kepada Allah.

Sehinggalah ketika giliran bayi di dalam pelukannya tiba, Masyitah menjadi serba salah.

'Sabarlah ibuku. Sesungguhnya kau di dalam kebenaran. Allah menjanjikan syurga buatmu!'

mashaAllah,bayi yang masih kecil itu mampu bersuara!

keraguan yang bertandang di hati Masyitah bagaikan lenyap sama sekali.

' Aku mempunyai satu permintaan terakhir wahai fir'aun. aku mahu kau perintahkan tenteramu untuk mengumpulkan cebisan2 daging kami, dan kau kuburkan di dalam satu kubur yang sama. kerana aku mahu menuju ke syurga bersama anak-anakku'

Masyitah lantas mencampakkan bayinya ke dalam kawah itu, kemudian dia sendiri terjun ke dalamnya.

KISAH 3


kisah imraah fir'aun, isteri fir'aun, yakni Asiah. Tangannya yang mengangkat Musa yang dihanyutkan di Sungai Nil, dan membesarkan Nabi Allah itu dengan penuh kasih sayang. Pabila hidayah dan keimanan kepada Allah meresap ke dalam hatinya, suaminya, fir'aun sendiri yang menyiksanya tanpa belas kasihan.

Asiah dibiarkan tanpa seurat benang, dan fir'aun memerintahkan supaya isterinya digantung ke bumbung penjara istana, dengan menggantung susunya.

Asiah yang menderita tersiksa, menangis merintih kepada Tuhannya.Dia yang dahulunya permaisuri di istana fir'aun, dihinakan oleh suaminya sendiri. Tiada sesalan baginya, bahkan dia memohon kepada Allah dalam rintihnya, agar dikurniakan istana di syurga.

Dengan izin Allah, hijab Asiah terbuka. Pandangannya mampu melihat istana yang telah Allah sediakan buatnya di syurga.

Asiah ketawa.

Dan ketawanya mengundang marah fir'aun.fir'aun terus menyiksanya, sehinggalah Asiah dikurniakan syahid di dalam tawanya.

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱمۡرَأَتَ فِرۡعَوۡنَ إِذۡ قَالَتۡ رَبِّ ٱبۡنِ لِى عِندَكَ بَيۡتً۬ا فِى ٱلۡجَنَّةِ وَنَجِّنِى مِن فِرۡعَوۡنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِى مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, isteri Fir'aun, ketika dia berkata, "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim," At-Tahrim (66:11)

KISAH 4

Kisah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya, yang disebut di dalam Surah Yaasin, ayat 13-30. Mufassir berpendapat lelaki itu diberi nama Habib An-Najar.

Kisah dari surah yaasin menceritakan mengenai penduduk di sebuah kampung yang mengingkari ajaran yang dibawa oleh 3 utusan Allah kepada mereka.

Lantas datang Habib An-Najar dari hujung kota, demi memberi peringatan kepada kaumnya.

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٌ۬ يَسۡعَىٰ قَالَ يَـٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ

20.Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki, dengan bergegas dia berkata, "Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.

ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسۡـَٔلُكُمۡ أَجۡرً۬ا وَهُم مُّهۡتَدُونَ

21.Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

وَمَا لِىَ لَآ أَعۡبُدُ ٱلَّذِى فَطَرَنِى وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ

22. Dan tidak ada alasan bagiku untuk tidak menyembah (Allah) yang telah menciptakanku dan hanya kepadaNyalah kamu akan dikembalikan. (Surah Yaasin)

Sayang sekali. Kaumnya tidak mengerti, bahkan mengingkari ajaran Allah.

Terdapat hadis yang meriwayatkan, penduduk-penduduk kampung tersebut telah menggali sebuah lubang, dan Habib An-Najar telah ditanam ke dalam lubang itu. Dan kepalanya akhirnya dipenggal.

Hadis lain pula meriwayatkan, bahawa Habib An-Najar telah dicampakkan ke dalam sebuah perigi lantas dibunuh.

Namun begitu, dengan rahmat Allah SWT, Habib An-Najar dihadiahkan dengan ganjaran terbaik. Allah telah memerintahkan supaya Habib An-Najar dimasukkan ke dalam syurga.

قِيلَ ٱدۡخُلِ ٱلۡجَنَّةَۖ قَالَ يَـٰلَيۡتَ قَوۡمِى يَعۡلَمُونَ

26. Dikatakan (kepadanya), "Masuklah ke syuga." Dia (lelaki itu) berkata, "Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui,

بِمَا غَفَرَ لِى رَبِّى وَجَعَلَنِى مِنَ ٱلۡمُكۡرَمِينَ

27. apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang telah dimuliakan."

(Surah Yaasin)

sungguh, beliau merupakan da'ie yang sejati.

walaupun nikmat syurga sudah terbentang di depan mata, Habib An-Najar masih memikirkan nasib kaumnya yang ingkar kepada Allah!

KISAH 5


Kisah tentang 2 orang sahabat nabi kita Rasulullah SAW, iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Abu Bakar, sangat terkenal dengan sikapnya yang sangat dermawan, bahkan harta yang didermakannya pasti melebihi para sahabat yang lain. Ini menyebabkan Umar sangat cemburu pada beliau dan berhasrat untuk menandingi Abu Bakar.

Suatu hari, Rasulullah SAW menyeru kepada sahabat-sahabat, supaya berinfaq dengan harta mereka kepada Islam. Umar menjadi bersemangat, kerana inilah masanya untuk dia menandingi Abu Bakar.

Umar pun mengumpulkan separuh daripada hartanya. Sehinggakan subang isterinya pun diambilnya sebelah. Setelah dikumpulkan semuanya, Umar membawakan seguni besar hartanya kepada Rasulullah.

Dipertengahan jalan, Umar bertembung dengan Abu Bakar yang hanya membawa uncang kecil. Hati Umar gembira kerana yakin kali ini dia pasti dapat menandingi Abu Bakar.

Tiba di hadapan Rasulullah SAW, baginda bertanya;

"Wahai Umar, apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?" " Aku tinggalkan mereka separuh daripada hartaku."
"Dan bagaimana pula dengan kamu wahai Abu Bakar? Apa yang kamu tinggalkan kepada keluargamu?" "Aku hanya tinggalkan kepada mereka, Allah dan RasulNya."

Umar terpempan.

Umar berkata; "Aku berharap, aku adalah sehelai bulu di dada Abu Bakar."

Mana tidaknya, keimanan Abu Bakar kepada Allah dan RasulNya tidak mampu ditandingi!

KISAH 6


Mus'ab bin Umair.

Pemuda bangsawan, tampan, kaya dan petah berkata-kata.

Mus'ab gemar memakai wangi-wangian di tubuhnya. Sehinggakan jika Mus'ab berjalan di kota Mekah, wanita-wanita Mekah ketika itu akan membuat barisan di tepi jalan yang menjadi laluan Mus'ab untuk menghidu wangiannya dan memikat Mus'ab bin Umair.

Dengan izin Allah, hati Mus'ab terpikat untuk memeluk agama Islam.

Kepetahan Mus'ab dalam berkata-kata menyebabkan Rasulullah memilihnya sebagai wakil baginda di Madinah, setelah termeterai perjanjian Aqabah. Mus'ab dihantar ke Madinah untuk mengajar penduduknya tentang Islam.

Diriwayatkan, tiada satu pintu rumah pun di Madinah yang tidak diketuk oleh Mus'ab, dan diajarkan mengenai Islam.

Sehinggakan, ketika hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, baginda disambut oleh penduduk-penduduk Madinah dengan meriah, dan hampir kesemua mereka telah pun memeluk agama Islam.

Hasil tangan siapa, kalau bukan hasil amal daawah yang dilakukan oleh Mus'ab bin Umair.

Mus'ab yang begitu hebat. Sebelum keislamannya, dia hidup dalam kemewahan dan kebangsawan.

Namun, setelas hidayah Allah meresap ke hatinya, kemewahan tiada makna lagi padanya. Harta-hartanya disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.

Mus'ab mewakafkan dirinya kepada Islam, sehinggakan dia berjaya meraih syahid di medan Uhud.

Ketika Perang Uhud, ramai sahabat-sahabat yang lari dari medan tempur demi mengejar ghanimah. Pada waktu yang getir itulah, Mus'ab adalah diantara sahabat yang bermati-matian melindungi Rasulullah SAW dan kaum muslimin yang lain.

Alangkah bahagianya Mus'ab,tergolong dalam golongan syuhada'.

[perkuburan syuhada' di medan uhud]

Ketika para sahabat hendak menguruskan jenazah Mus'ab bin Umair, tiada harta Mus'ab yang dapat ditemui oleh mereka, melainkan sehelai kain. Kain itu mereka jadikan sebagai kain kafan beliau. Kain itu, yang mana bila ditutup kepala Mus'ab, kakinya akan terjulur keluar.Bila ditutup kakinya, kepalanya pula akan kelihatan.

Sehinggakan Nabi SAW bersabda;
"Wahai Mus'ab bin Umair, kami tidak dapat menjumpai hartamu untuk menutupi mayatmu. Semuanya kau sedekahkan kepada mereka yang miskin. Di syurga nanti kita berjumpa, wahai Mus'ab"
******

ya, ini kisah mereka.

ini kisah pemburu-pemburu syurga.

ini kisah mereka yang dekat dengan Tuhan.

kisah kita bagaimana pula?

وَقَلِيلٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَخِرِينَ
14. dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. (alwaqiah)


ah, mampukah kita menjadi segolongan kecil itu?

usah banyak bertanya. kita sudah kesuntukan masa.

fastabiqul khayrat!












1 comments:

ubaidillah alqasam said...

ya ukhti... fastabiqul khairat... semoga bulan ramdhan ni kita menjdi insan yang lebih betakwa dan lebih dekat diri kepada Ilahi.... salam ramadhan..salam perjuangan,,,