Pages

  • RSS

Friday, May 29, 2009

itulah si anak muda, itulah sebaik-baik raja dan tenteranya

Assalamualaikum WBT

Special Edition Post, bersempena memperingati ulangtahun pembebasan Kota Constantinople pada 29 Mei, 1453 yang lalu.




HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

____________________________________________________

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar!

PENAWANAN CONSTANTINOPLE

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya,

“Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”.

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”.

Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.

Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Al Fateh telah merealisasikan hadis Rasulullah SAW.

Bagaimana dengan kita, anak-anak muda sekalian?



***anda kurang pencerahan tentang sejarah kebangkitan dan kejatuhan tamadun Islam dahulukala? layari laman ini : INI SEJARAH KITA

Wednesday, May 20, 2009

for those who desire paradise

Moga Allah mengira setiap nukilan di sini sebagai ibadah yang ikhlas. Moga blog ini menjadi peringatan yang paling tajam, janji yang paling kuat buat pemilik jari yang menulis ini, iaitu jari-jemari yang bakal menjadi saksi setiap perbuatan di Mahkamah Agung, di hadapan Hakim Yang Maha Adil di akhirat kelak. Moga saudara-saudara seiman yang tercinta mendapat sedikit manfaat dari sini. Because i believe – Sharing is caring. InshaAllah.

-kak hanim

jzkk kak for the reminder.inshaAllah, kami akan cuba selalu tajdid semula niat.perbetulkan niat.kenapa berblog?adakah sekadar suka-suka? sedang setiap amal perbuatan kita, akan dihitung Allah SWT, dan dipamerkan di mahkamah akhirat kelak.

walaupun sekadar blogging.

moga blog ini juga ada sahamnya untuk saya di akhirat kelak.moga ia menjadi pemberat amal kebajikan di mizan nanti.

“Nun.Demi pena dan apa yg mereka tuliskan” (Al-Qalam:1)

sedang berada di dalam fatrah imtihan sekarang. jadi mungkin akan mengurangkan kadar pengeluaran post2 baru.doakan, moga Allah permudahkan segalanya, moga mumtaz milik bersama.agar tiada fitnah terjadi kepada dakwah dan islam yang kami seru.

bukankah Allah akan memberi bantuan kepada mereka yang menolong agamaNya?

dear readers,
rajin2lah melawat blog kakak kesayangan kami ni :)

KAK HANIM

juga saya tinggalkan anda semua dengan sebuah video yang sangat menarik. sebuah talk daripada Bilal Assad.


THOSE WHO DESIRE PARADISE

inshaAllah, sesuai dengan tajuknya, talk ni sangat sesuai untuk mereka yang sangat mendambakan ganjaran syurga. dengan izin Allah juga, moga-moga ia akan menyentuh dan melembutkan hati-hati anak Adam yang keras.membasahkan jiwa yang kering.menitiskan airmata bagi mereka yang sudah lama tidak menumpahkan air mata mereka semata-mata kerana takutkan dan cintakan Tuhannya, Allahu Robbul 'Alamin.

juga mengingatkan semula apa yang kita sering lupa.bahawa destinasi kita yang terakhir dan utama di negara abadi di sana,yakni SYURGA.

salaam imtihan kepada seluruh penuntut ilmu di bumi Mesir!
ma3a taufiq wannajah.robbuna yusahhil.


Tuesday, May 5, 2009

mahu dikenali penghuni langit?

wahai kawan-kawan mari dengar cerita
kisah Nabi Yunus dalam perut ikan nun

wahai kawan-kawan janganlah bimbang

Nabi Allah tetap dalam pembelaan

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
sembahlah Allah yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia


Seruan Nabi tidak diterima

Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dinista


Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka

Lalu dia pergi membawa diri
Ketepi pantai seorang diri


Baginda menumpang kapal pedagang
Membawa diri ke rantau orang

Malangnya laut bergelombang
Hampir karam di tengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut yang bergelora
Baginda ditelan ke perut ikan nun

Gelap gelita tiada terkira

Sedarlah Nabi akan dosanya
Dihukum Allah begitu rupa
Menangislah Nabi setiap masa
Memohon ampun dari Tuhannya


Begitulah kisah seorang Nabi
Diuji Allah begitu sekali
40 hari 40 malam
Barulah taubatnya diterima Tuhan





Bismillah. Salaam Aleyk :)

haa.. ada siapa-siapa yang rasa macam familiar dengan rangkap-rangkap di atas?

oh, ini bukannya pantun, mahupun sajak, ataupun syair.saya bukan macam cik fathy atau cik yuyumiza yang pandai membuat bait-bait yang indah-indah. :D

bagi siapa-siapa yang semasa zaman kecilnya gemar mendengar lagu-lagu nasyid kanak-kanak, sudah tentu anda kenal dengan lagu di atas.

Seingat saya, lagu ini adalah salah satu daripada lagu2 kegemaran saya seusia 6 tahun dahulu.Kecil-kecil dahulu, mama rajin belikan kaset-kaset nasyid kanak-kanak dan kaset Quran Imam Abdul Rahman Sudais untuk kami. Masuk saja ke dalam kereta, kami adik-beradik akan sama-sama menyanyikan lagu-lagu nasyid dan sama-sama ikut Imam Abdul Rahman Sudais membacakan Juzu' Amma. Comel kan?hihi
Dan ini adalah salah satu daripada lagu-lagu daripada kaset nasyid itu.Mengenai Nabi Yunus.

Kenapa saya bawakan kisah Nabi Yunus kali ini?Saya yakin sangat-sangat, kamu semua semestinya tahu sangat tentang kisah Nabi Yunus kan.Kecil-kecil dulu mesti kamu semua rajin baca buku kisah para Nabi dan Rasul. :)

Bagi yang tak mengetahui cerita Nabi Yunus, tak mengapa. Anda boleh klik SINI untuk kisah selanjutnya.

Tetapi ada lagi hikmah lain yang boleh kita garap daripada kisah Nabi Yunus, selain kisah tentang kesabaran baginda berdakwah kepada kaumnya yang ingkar itu.

Apa agaknya hikmah yang tersebunyi itu ya?

Ia mengenai doa Nabi Yunus.

Doa baginda, yang dikenali oleh penghuni langit.
Siapa penghuni langit? Malaikat-malaikat, dan makhluk-makhluk lain yang diluar pengetahuan kita.

Nabi Yunus, berdoa kepada Allah saban hari. Doa baginda berterusan, semasa baginda susah, mahupun senang. Semasa baginda sedang berdakwah, mahupun tatkala ditimpa musibah, ditelan ke dalam perut ikan nun.
Sehinggakan, suara baginda Nabi Yunus dikenali oleh penghuni langit, dek kerana betapa kerapnya baginda bermunajat dan memanjatkan doa kepada Tuhannya.

Sehinggalah pada suatu masa, penghuni langit masih terdengar suara Nabi Yunus berdoa, tetapi tertanya-tanya di mana gerangan Nabi Yunus.

" Ini suara Yunus.Tapi di manakah dia?"

Mana tidaknya, baginda sewaktu itu sedang berada di dalam perut ikan nun. Memohon keampunan daripada Allah selama 40 hari 40 malam.


Itu Nabi Yunus.

Bagaimana dengan kita ya?

Adakah kita berdoa seperti Nabi Yunus? Berterusan?

Atau adakah hanya selepas solat sahaja? Itu pun kalau lagi pendek lagi bagus!
Atau adakah doa kita hanya akan jadi bersungguh-sungguh tatkala fatrah imtihan semata-mata? Sujud di akhir rakaat solat sampai setengah jam,doa sampai menangis-nangis, sampai lekuk lantai dek lama sangat sujud.
Adakah kita hanya berbuat sedemikian pada waktu-waktu tertentu sahaja? Bila exam final menjelang, atau bila ibu kita sedang sakit, atau bila segala macam kesusahan menimpa kita.

Jika begitu, sudah tentu suara kita langsung tidak dikenali oleh penghuni langit. Kerana jarang sekali kita memanjatkan doa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan.

"Eh, suara siapa pula ni? Tak pernah dengar pun? Mesti budak ni doa dan ingat Allah bila susah je. Time senang tak ingat!"

Agaknya inilah yang mungkin penghuni langit katakan tentang kita.

Itupun JIKA doa kita SAMPAI ke langit.

Kalau dengan doa yang tak bersungguh, macam nak tak nak je, jangan haraplah Allah nak makbulkan.

Jadi?

Sempena musim exam ni, alang-alang kita dah perbanyakkan doa dan tawakkal kita (bagi yang berbuat demikian) apa kata kita TERUSKAN berdoa walaupun selepas habis fatrah imtihan ni. Doa, biar bersungguh. Biar sampai menangis-nangis. Kalau tengok cerita Kabhi Kushi Kabhi Gham boleh menangis tersedu, atau bila mengadu masalah dengan boyfriend sampai habis berkotak-kotak tisu, takkan bila kita sedang mengadu dan bermunajat kepada Allah, kekasih kita yang sebenar-benarnya, susah sangat nak menitiskan airmata?

Unless, kita sendiri yang tidak menjadikan Allah sebagai sebenar-benar kekasih, dan sebenar-benar tempat bergantung dan mengadu.

Berdoalah, moga-moga doamu dimakbulkan Allah, dan moga-moga dikenali suara kita oleh penghuni langit.

Allahussomad.

Allah, sebaik-baik pendengar, sebaik-baik penerima taubat, dan sebaik-baik tempat bergantung.

Wallahu a'lam