Pages

  • RSS

Monday, November 29, 2010

Sang Murabbi


"Ribuan langkah kau tapaki

Pelosok negri kau sambangi
Tanpa kenal lelah jemu

Sampaikan firman Tuhanmu"

Allah....
Bait-bait lagu ini yang bergema dalam benak kami lewat kebelakangan ini.

7 hari bersama Sang Murabbi, banyak mengajar dan mendewasakan aku dan akhawatku. Murabbi yang mengajar kami tentang erti CINTA. Cinta yang sebenar-benar cinta, kepada DAKWAH ini.

Kerana setiap jiwa mampu untuk berdakwah. Namun, adakah kita mampu untuk menCINTAi dakwah yang mulia ini?

Aku kembali bertanya pada diri sendiri. kenapa aku memilih jalan ini? jalan dakwah yang penuh liku dan pancaroba yang menyesakkan dada. ya, bukannya aku tak faham tabiat jalan ini. jalan yang dilalui oleh mereka yang mengaku dirinya pewaris nabi, yang akan mewariskan risalah Allah dan menegakkan kalimahNya yang Haq di atas muka bumi.

Justeru mengapa jalan ini yang aku pilih? jalan yang menjanjikan kesusahan, kepayahan, jalan yang memenatkan, dan segala macam perkara yang 'tak best' dalam nilaian seorang hamba bernama manusia.

Lalu aku berpuas hati dengan jawapanku sendiri. Ya, aku berdakwah kerana TANGGUNGJAWAB. wajib ke atas ku untuk melaksanakan tanggungjawab Syahadatul Haq yang diperintahkan. maka, tidak dapat tidak, aku WAJIB untuk menjadi seorang daie.

Dan aku merasakan, alasanku sudah cukup memuaskan hati.

Namun,

7 hari bersama sang murabbi, membuatkan aku kembali menilai diri.

Sejauh mana rasa tanggungjawabku untuk memikul beban dakwah ini akan terus menetapkan langkahku di atas jalan yang penuh onak duri ini?
Bagaimana ketika aku sedang futur?Ketika aku penat, jatuh tersungkur, dan lelah dengan ujian yang silih berganti? Bagaimana jika aku dibebankan dengan tanggungjawab lain kelak? tanggungjawab seorang isteri, ibu, doktor?

Maka TAK MUSTAHIL rasa tanggungjawab ku terhadap dakwah, tidak lagi menjadi prioriti. mungkinkah jatuh tangganya menjadi kepentingan ke-2, ke-3 atau seterusnya?

Sang murabbi yang aku kagumi, bukan saja dia berdakwah kerana tanggungjawab.
Bukan kerana mengisi masa lapang. bukan jua kerana takutkan dosa yang bakal dipikul jika mengabaikan dakwah.

Bahkan dia CINTA akan dakwah yang mulia ini.

7 hari bersama murabbi, membuktikan segala-galanya di depan mataku, yang selama ini hanya aku imani melalui cerita-cerita duat terdahulu. yang aku tontoni dari kisah-kisah perjalanan hidup para murabbi, yang aku baca dari tulisan-tulisan para mujahidin fisabilillah.

dan kali ini, Allah yang sangat baik itu, memberikan ku peluang untuk melihat dan menilai dengan mata kepala ku sendiri.

seorang daie dan murabbi, yang CINTA akan dakwah ini.

murabbi yang tak pernah lekat di rumahnya. sentiasa saja terbang kesana kemari, mengisi kelompongan dan kegersangan tarbiyyah para syabab fatayat dari seluruh dunia yang dahagakan taujihaat dan pencerahan.

murabbi yg tak pernah kisahkan kepentingan dirinya.yang penting baginya adalah kebajikan dan keselesaan para mutarabbi. makan, pakai, tempat tinggalnya, jika tiada yg mengambil berat dan tak bertanya, makanlah dia seadanya.tidurlah dia di dalam tremco, keretapi, metro, jika tiada yg mengambil berat meguruskan penginapannya.

murabbi yang tak kenal siang dan malam.dari awal pagi hingga lewat malam memberikan taujih, pencerahan-pencerahan tarbiyyah, berqadhaya isu ummah dan merancang pelan-pelan dakwah.dalam keadaan yang sangat penat, dan kurang tidur hingga merah-merah mata, masih ceria dan sanggup meneruskan daurah hingga jam 2 pagi !

murabbi yang melayan kehendak mad'u dan mutarabbinya.seorang yang mampu menarik sesiapa saja yang mendengar taujihaat darinya, bahkan mutarabbinya mencecah ribuan.murabbi yg sentiasa ceria, walaupun dalam kepalanya menanggung beban masalah dakwah dari seluruh dunia.

seorang murabbi, yg tak pernah kisahkan tohmahan manusia ke atas dirinya.

seorang murabbi, yang menginfaqkan seluruh kehidupannya untuk dakwah ini.

kerana dakwah lah CINTA dan OBSESI hati nya, dan cinta itulah yg menjaganya dan menetapkan langkahnya di atas jalan ini.

Allahumma, ampunkan dosa para murabbi kami. payungi mereka dengan rahmat dan kasih sayangMu. izinkan kami, ya Allah. izinkan kami untuk terus tsabat di atas jalan ini. campakkan rasa cinta di dalam hati kami. rasa cinta akan dakwah dan risalah Mu ini.

cinta dan obsesi yang akan membawa kami ke syurgaMu nanti...



"Semua makhluk bertasbih

Panjatkan ampun bagimu

Semua makhluk berdoa

Limpahkan rahmat atasmu

Duhai pewaris nabi

Duka fana tak berarti

Surga kekal dan abadi

Balasan ikhlas di hati"

"Tanpa kenal lelah jemu, sampaikan firman TuhanMu...."