Pages

  • RSS

Monday, August 12, 2013

Kisah 28 Ramadhan


Jam sudah menunjukkan pukul 6 pagi.Di luar langit pun dah makin cerah .Aku dan Radhiah bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Malam itu kami menjadikan Masjid Bilal bin Rabah di Hayyu Sabie sebagai masjid pilihan untuk iktikaf hingga ke subuh.

Kami menahan teksi di jalan besar untuk pulang ke Sayeda Zeinab. Selepas 5 minit menanti, akhirnya ada teksi yang sudi membawa kami pulang.

Ammu teksi kelihatan kurang biasa melalui jalan di Madinat Nasr. Beberapa kali dia tersilap memilih jalan yang menghala ke Medan Rabiatul Adawiyah; tempat perkumpulan jutaan rakyat Mesir yang menolak penggulingan kuasa oleh tentera ke atas Presiden Mesir yang sah Dr Muhammad Mursi. Berpusing-pusing ammu  mencari jalan keluar kerana kebanyakan jalan yang menghala ke Rabiatul Adawiyah telah ditutup.

"Kau tengok, entah apa yang mereka nak pun aku tak tahu. Apa yang mereka dapat bila berkumpul2 macam tu? Menyusahkan betul!" rungut ammu meluahkan kemarahan terhadap pro Mursi yang berkumpul.

Aku mengambil langkah berdiam diri. Kami selalu diberi amaran oleh kedutaan Malaysia di Mesir supaya tidak berbincang soal politik Mesir dengan rakyatnya, bimbang menimbulkan ketegangan. Tambahan pelajar Malaysia di sini sudah dilabel sebagai penyokong ikhwanul muslimin, dibimbangi keselamatan pelajar Malaysia terancam.

"Mereka semua pengganas. Kau tahu mereka yang lepaskan tembakan kepada polis? Kalau di negara kau ada ke orang buat macam tu? Berhimpun depan bangunan tentera dan menyerang tentera? Tak ada siapa pun atas muka bumi ni yang buat macam mereka!" ammu nampak makin meradang.

"Mana kamu tahu mereka yang lepaskan tembakan? Mesti kau tengok tv kerajaan kan.Takpun kau baca surat khabar Ahram. Kau tahu tak media kerajaan negara kamu ni penipu, mereka tak tunjukkan kebenaran!" aku jadi naik darah bila orang-orang soleh di Rabiatul Adawiyah itu dikatakan pengganas. Tak peduli dengan isu keselamatan, aku cuba merasionalkan ammu teksi ini.

"Kenapa kau cakap macam tu?"

"Yelah, apa yang aku baca dari berita, lain pula. Yang aku tahu, tentera yang mulakan tembakan ke atas mereka. Kau tak tahu ke mereka ditembak oleh polis selepas pulang dari solat subuh di hadapan Kubur Anwar Sadat? Kau tak baca ke berita yang mereka ditembak di depan Hirs Jumhuri ketika sedang solat subuh dan ketika sujud?"

"Mereka ditembak ketika sujud??" ammu nampak terkejut. siap tertoleh ke belakang memandangku meminta kepastian.

"Ya. Itu yang aku baca dari internet, dari AlJazeera, dari sumber2 lain yang lebih tepat. Media kerajaan yang penipu memang takkan siarkan benda ni, sebab tu kau tak tahu! Adakah orang yang sujud dikatakan pengganas? Atas alasan apa tentera mahu tembak orang yang sedang solat?"

Ammu terdiam.

"Ammu, kau tak boleh hanya baca dari satu sumber sahaja. Bukan di Mesir sahaja, di Malaysia pun media kerajaannya kadang-kadang tak menceritakan kebenaran. Mereka hanya akan tunjukkan benda yang membawa kepentingan kepada mereka sahaja. "

Ammu diam lagi. Sedang berfikir agaknya.

"Kau kena dapatkan dari pelbagai sumber, dari internet, dari orang-orang yang sedang berkumpul di Rabiatul Adawiyah tu.Allah kurniakan kita akal, untuk kita bezakan antara yang haq dan yang batil! Kalau kau hanya baca dari media kerajaan yang biased, kau takkan nampak kebenaran."

Ammu terangguk-angguk sedikit.

"Tapi kenapa Syeikh Azhar pun menolak Mursi?"

"Ammu, yang menolak Mursi tu hanya ketuanya sahaja, Syeikh Tayyib tu. Kau tak tahu ke kebanyakannya syuyukh Azhar yang lain bersama Mursi? Mereka sama-sama berkumpul di Rabiatul Adawiyyah!"

"Yakah?"

"Ya ammu..sebab tu kau kena baca dari internet.."

"Habis tu apa yang mereka nak sebenarnya dengan berkumpul di sana?" Ammu bertanya.Mungkin nak mengujiku.

"Sudah tentu kerana mereka mahu Mursi kembali memerintah kerana Mursi adalah presiden yang sah."

"Ahhhh..Mursi tu tak layak jadi presiden. Dia tak pandai memerintah. Kau tahu kan, disebabkan dia rakyat susah. Masalah petrol, air, elektrik. Dia memang patut digulingkan!" ammu nampaknya meradang semula bila nama Mursi dibangkitkan.

"Kau tak boleh kata itu semua salah dia semata-mata. Macam mana dia nak memerintah, kalau menteri-menteri semuanya tak bekerjasama? Bahkan menteri-menteri kebanyakannya adalah saki baki rejim Mubarak. Lagi pun macam mana dia mahu memerintah Mesir yang sudah dirosakkan Mubarak selama 30 tahun dalam tempoh satu tahun saja?"

"Huh..kalau kau nak tahu, semua kerosakan yang Mubarak buat dalam 30 tahun tu Mursi buat dalam setahun saja!" geram sangat ammu ni nampaknya.

"Apa buktinya? Yang aku nampak dia banyak bawa kemajuan." memang susah nak merasionalkan orang yang bercakap dengan emosi, bukan dengan hujah.

"Macam ni lah ammu, kau jangan percaya apa yang media kerajaan katakan. Mereka tak tunjukkan kebenaran pun. Pada pendapat aku, satu tahun sahaja memang tak cukup untuk Mursi membaiki semua kerosakan yang ada. Takkan ada siapa-siapa pun atas dunia ni yang mampu mengislahkan negara dalam tempoh sesingkat itu. Bahkan di negara kami pun, kami beri tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun untuk memerintah, kemudian baru pilihanraya diadakan. Kau kena bagi Mursi peluang."

Ammu terdiam.

"Kau kenal bekas perdana menteri negara aku? Mahathir Muhammad?"

"Ya."

"Dia mengambil masa 20 tahun untuk membangunkan Malaysia, sampai menjadi negara maju sekarang. 20 tahun sebelumnya, negara kami mundur, macam Mesir juga!" sengaja aku memancing dengan nama Tun Mahathir, kerana rakyat Mesir memang kebanyakannya sangat menyanjung Tun Mahathir disebabkan kebolehannya membangunkan Malaysia.

"20 tahun? lama tu!" ammu kelihatan terkejut.

"Ya, ammu. Sebab tu kau tak boleh menghukum Mursi dalam tempoh satu tahun sahaja. Kau kena bagi dia peluang."

Ammu mengangguk. Teksi kami sudah makin menghampiri kawasan rumahku di Syari Kasr El-Einy.

"Aku nak cadangkan kepada kau ammu, apa kata kau cuba pergi sendiri ke Medan Rabiatul Adawiyyah. Kau lihat bagaimana orang-orangnya, apa yang mereka buat. Kau akan nampak bahawa yang berkumpul di sana semua orang-orang soleh yang mahu menegakkan kebenaran.Kau tak boleh hanya sekadar dengar dari media sahaja. Kau kena lihat sendiri"

"Baik aku akan cuba ke sana nanti."

"Aku doakan moga Allah tunjukkan kebenaran kepada kau. Terima kasih ammu."

"Ameen." Ammu tersenyum dan memberhentikan teksinya untuk menurunkan kami.

dalam hati memang aku benar-benar mendoakan ammu ini dapat melihat kebenaran. kerana aku lihat dia seorang yang benar-benar cintakan negaranya.  dan aku benar-benar berharap dia ke Medan Rabiatul Adawiyyah seperti yang aku sarankan, kerana aku tahu kebanyakan rakyat Mesir buta huruf, dan tak mampu mendapat akses internet, maka mereka perlu melihat dengan mata mereka sendiri.

ala kulli haal, politik Mesir memang sangat menarik. bahkan sejarahnya yang tertulis di dalam Quran tentang kisah Firaun dan Musa bagaikan ditayangkan semula kepada ummat zaman ini.

memang, pertempuran antara AlHaq dan AlBatil itu akan sentiasa berlangsung, hingga kiamat menamatkan semuanya..

allahumma arinal haqqa haqqan warzuqnattiba3ah..waarinal batila batilan warzuqnajtinabah