Pages

  • RSS

Saturday, April 6, 2013

tumuhaat al-fateh

Mengenali Sultan Muhammad Al-Fateh dengan lebih mendalam, semakin menambahkan rasa kagum dalam hati. Kisah bagaimana beliau dibesarkan dan dididik dari awal untuk menjadi Pembuka Kota Konstantinopel memang  mengujakan. Mengajar aku tentang pentingnya menjadi seorang 'VISIONARY', memiliki tumuhaat (wawasan) dan berjiwa besar. Al-Fateh seusia 12 tahun telah beriman bahawa dialah yang akan menjadi seperti yang disebut oleh Rasulullah di dalam hadisnya,

لتفتحن القسطنطينية فلنعلم الأمير أميرها   ولنعم الجيش ذلك الجيش

"Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera ... " (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hadis yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW di dalam peristiwa khandaq, ketika para sahabat ketakutan menanti kedatangan 10,000 musuh dari kaum Arab yang mahu memerangi Islam di Madinah. Sahabat yang juga sedang kelaparan sehinggakan terpaksa mengikat perut mereka dengan batu, diarahkan oleh Rasulullah untuk menggali parit (khandaq) sebagai strategi peperangan atas saranan Salman Al-Farisi r.a. Ketika itulah mukjizat Rasulullah SAW berlaku dan baginda diberitakan oleh Allah dengan kemenangan Islam ke atas Parsi dan Rom.

Jika kita yang berada di tempat para sahabat ketika itu, mampukah kita beriman sekental iman mereka golongan muhajirin dan ansar? Sedangkan mahu memenangi Rom dan Parsi, hendak menghadapi kaum Arab pun mereka menggigil kegerunan. Namun sememangnya  usah diragui keimanan mereka, mereka lantas percaya sebulat hati dan bergembira dengan perkhabaran dari Rasulullah SAW, menandakan kemenangan Islam semakin dekat!

Dan sabda Rasulullah SAW itu terbukti dengan kemenangan Islam ke atas Parsi di dalam Perang Qadisiyyah pada tahun ke15 Hijrah. Manakala, hadis tentang pembukaan Rom menjadi aspirasi kepada umat Islam sejak zaman berzaman. 800 tahun selepas diungkapkan hadis tersebut, akhirnya Sultan Muhammad AlFatih yang menjadi pembuka Kota Konstantinopel selepas 12 kali percubaan untuk menawan kota itu dilakukan sejak zaman sahabat lagi.

Ramai yang takjub kekaguman dengan pencapaian AlFatih ini. Apa yang membezakan beliau dari pemimpin-pemimpin terdahulu daripadanya? Mengapa kemenangan ke atas Rom itu hanya berlaku pada zaman pemerintahannya?

Hakikatnya, tiada yang ajaib pada Muhammad Al-Fatih. Dia hanyalah manusia biasa yang mempunyai wawasan, dan dia bekerja ke arah mencapai wawasannya.



Perlu kita fahami juga bahawa AlFatih seusia 8 tahun sama seperti kanak-kanak lain, nakal dan liat belajar. Sehingga ayahnya Sultan Murad terpaksa menjemput seorang ulama' untuk mengajarkan agama dan AlQuran kepada AlFatih, dan membenarkan ulama' tersebut, Syeikh Syamsuddin untuk menggunakan kekerasan ke atas AlFatih dalam proses pentarbiyahannya. Di sini dapat kita lihat peranan Syeikh Syamsuddin sebagai murabbi kepada AlFatih, sehinggakan pemerintahan beliau menjadikan ulama sebagai tempat rujuk utama. AlFatih dibesarkan dengan tegas dan sering ditanamkan ke dalam dirinya sejak kecil lagi bahawa dialah yang akan menjadi pembuka Konstantinopel seperti yang disebut di dalam hadis itu.

Mindset yang ditanamkan sejak kecil ini menjadikan AlFatih 'beriman' bahawa dialah yang akan melaksanakan hadis Rasulullah SAW itu, dan kerana itulah dia berusaha ke arahnya. Zaman remajanya tidak seperti remaja yang lain, bahkan dipenuhi dengan persiapan sebagai seorang pemimpin dari sudut agama, pendidikan, ketenteraan dan kepimpinan. Visinya yang besar untuk menawan Konstantinopel seringkali diragui, kerana 12x percubaan telah gagal termasuk ayahnya sendiri, Sultan Murad. Namun AlFatih dengan penuh keyakinan diri berkata,

"Aku bukan seperti mereka datuk moyangku yang terdahulu. Ini adalah aku, Muhammad, dan aku pasti akan menawan Konstantinopel"

Akhirnya AlFatih membuktikan kata-katanya sewaktu usianya hanya 21 tahun. Dialah yang disebut oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera.

Sememangnya, Allah mentakdirkan kemenangan itu tercapai melalui AlFatih, bukan sia-sia. Bahkan Allah mahu mengajar kita pentingnya mempunyai wawasan dan visi yang besar dalam hidup. Tiada yang mustahil dalam dunia ini, andai kita bekerja ke arahnya. Meski kita pernah hidup di dalam jahiliyyah yang penuh kegelapan, masih ada ruang untuk kita berubah menjadi yang lebih baik. Andai bermimpi untuk melakukan perubahan pada dunia, mulakan pada diri kita sendiri. Didiklah nafsu supaya tunduk kepada iman. Penuhi jiwa hanya dengan Allah, nescaya setiap langkah sentiasa mengikut kehendak dan pandanganNya. 

Andai mengimpikan seorang penyelamat ummah yang lahir dari rahim ini, maka proses pentarbiyahan bakal zuriat itu bermula dari sekarang, iaitu pentarbiyahan wanita yang bakal melahirkannya Wanita yang meghayun buaian itu takkan mampu menggoncang dunia, andai masih tidak bertuhankan Allah sepenuhnya, masih leka dengan dunia yang membelenggu. Visi yang sekadar pada kata-kata tanpa amal ke arahnya, takkan ke mana-mana, hanya bermimpi di siang hari semata.

Kau bermimpi mahu memenangkan Islam. Kau bermimpi mahu menjadi seperti Hannah yang menginfaqkan zuriat di dalam kandungannya untuk Islam. Kau mahu mentarbiyah manusia bahkan zuriatmu menjadi penyelamat ummah dan pembebas AlAqsa.  Namun sudahkah kau lengkapkan dirimu dengan setiap muwasafat tarbiyah? Bagaimana dengan mutabaah amalmu? tilawahmu? tahajjudmu?puasamu?amal dakwahmu?

Tumuhaat itu, bukan sekadar angan-angan atau kata-kata. Tapi selayaknya diterjemahkan dalam bentuk amal. 

Ighfirlana Ya Rabb T__T