Pages

  • RSS

Tuesday, January 29, 2013

bahan bakar

Kamu tahu apa perkara yang paling menyakitkan bagi seorang aktivis dakwah?

Apabila dia aktif berbuat dakwah dan berprogram ke sana ke mari, menyeru manusia kepada Islam,  tetapi tidak mampu menarik ahli keluarganya sendiri kembali menjadi muslim yang sejati.

Sangat menyakitkan Apabila daie yang selama ini kelihatan hebat berdakwah di luar, namun kata-kata nasihatnya langsung tidak diendahkan oleh ibu bapanya, ahli keluarganya, atau saudara terdekat, dan kadang-kadang diperlekahkan pula.

Melihat ahli keluarganya sendiri terang-terangan melakukan maksiat kepada Allah.
Terasa semacam duri yang mencucuk-cucuk ke dalam hati.

Bukan seorang dua yang pernah aku temui dari kalangan aktivis dakwah, yang anak-anaknya "tidak menjadi". Di luar dia begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana amal dakwah dan akhlaknya yang terpuji. Namun di rumah, tiada siapa yang tahu bagaimana dia menangis bersama sang isteri saban malam, memohon Allah memberi petunjuk kepada anak-anaknya yang telah tersasar jauh dan hanyut dalam dunia.
Allah...betapa Allah telah mengujinya dengan zuriatnya sendiri.

Pernah aku bertanya kepada mereka, apa perasaan mereka?
Katanya, itulah adat resam dan tribulasi dalam dakwah dan hidup berkeluarga. Sedangkan Nabi Nuh Alaihissalam pun diuji dengan anak dan isteri yang derhaka kepada Tuhan, dan akhirnya diazab Allah di depan matanya sendiri. Tidakkah luluh hati Nabi Nuh sebagai ayah dan suami, apabila melihat zuriat dan isterinya sendiri tergolong dalam mereka yang dimurkai Allah, sedangkan baginda adalah seorang Rasul?

Ya, mungkin manusia boleh mengata dan mengumpat. Siapa mahu mendengar kata-kata nasihat dari mereka  yang anaknya sendiri 'tak menjadi orang'? Ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.Namun itu bukan penyebab dakwah harus ditinggalkan lantaran malu dengan orang sekeliling.Dakwah perlu diteruskan, berserta dengan doa yang tak putus-putus dan penuh pengharapan kepada Allah yang memegang hati-hati manusia. Berdoalah supaya Allah melembutkan hati ahli keluarga supaya kembali kepada fitrah, dan menjadi muslim yang sejati.

Bahkan aku pernah mendengar kisah tentang sepasang suami isteri penggerak dakwah. Kisah si isteri dipukul oleh suami kerana panas baran, yang melarikan diri ke rumah seorang ukhti lain untuk menyelamatkan diri. Akhirnya si suami terpaksa dikawal dan ditenteramkan oleh ikhwah-ikhwah yang lain. Bila dengar kisah-kisah seperti ini, terasa ganjil. Takkan du'at pun macam ini? Takkan anak-anak ikhwah akhawat pun perangainya begini seakan-akan tak pernah lahir dalam keluarga yang ditarbiyah?

Hakikat yang perlu kita telan, individu-individu dalam jemaah dan gerabak dakwah kita ini bukanlah malaikat. Ya, kita memang dididik dan ditarbiyah untuk memenuhi muwasafat yang tertentu, terdidik untuk memiliki keimanan dan akhlak yang terpuji. Namun jangan dilupakan, kita tetap adalah manusia yang tak lepas dari kelemahan dan kesilapan. Jemaah kita bukanlah jemaah malaikat, tetapi jemaah manusia, yang berhimpun untuk sentiasa mendapatkan support system dan membaiki diri dari semasa ke semasa.

Itulah hikmahnya hidup berjemaah. Itulah gunanya ada ikhwah dan akhawat. Sentiasa membantu satu sama lain untuk kebaikan bait muslim yang dibina bersama. Anak ukhti kita juga adalah anak kita. Jika anak-anak mereka bermasalah, ahli-ahli dalam jemaahlah yang memainkan peranan untuk membantu ibu bapa tersebut dalam memberikan penyelesaian. Bukannya saling menyalahkan atau membanding-bandingkan!

Melihat situasi-situasi sebegini dari kaca mataku yang masih belum membina keluarga sendiri kadang-kadang membuatkan aku takut. Betapa fitnah dunia yang sangat menyesatkan sehingga bait muslim yang mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka juga tak terlepas dari terkena percikannya. Dan kerana itulah, pembinaan diri dan tarbiyah aulad itu bukan perkara main-main dan perlu dirancang sebaiknya, malah seawal sebelum perkahwinan.

Dan kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Tahrim ayat ke 6 :



"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang BAHAN BAKARnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Maka apabila si daeiyah berdakwah, jangan sesekali menganak-tirikan dan melupakan ahli keluarganya.
Selamatkanlah diri kamu, dan ahli keluargamu dari menjadi bahan-bahan bakar di dalam neraka.

Muhasabah, sejauh mana kehadiranku setelah ditarbiyah memberi kesan yang baik kepada ahli keluargaku?

Sunday, January 13, 2013

sampai syurga

Pernah dengar hadith ini?

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً


Ertinya: Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan menjadikanmu membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya yang busuk kepada badanmu.

 (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Benar sabda Nabi SAW. Apabila kita memilih untuk berkawan dengan sahabat yang baik, pasti tempias kebaikannya sedikit sebanyak akan mempengaruhi kehidupan dan peribadi kita. 

Aku juga punya seorang ukhti/sahabat, yang peribadinya sangat aku kagumi. Perwatakan dan akhlaknya memang menggambarkan ciri-ciri seorang muslimah solehah. Pernah kami bergurau dan beri gelaran kepadanya "bidadari" dan "qurratu a'yun/penyejuk mata". Dan aku menjadi saksi, bahawa gelaran yang diberi itu bukan sekadar gurauan, malahan memang sangat kena pada tuannya.

Dia yang aku kenali sejak 6 tahun lalu yang juga adalah ukhti seperjuangan dalam jalan dakwah, bukan sahaja tidak pernah marah, malah tak pernah menzahirkan kemarahannya. Hatinya sangat lembut dan mudah tersentuh. Bila mendengar taujihat dan bacaan doa yang menyentuh hati, dia selalu menjadi yang pertama mengalirkan air mata. Bila kami dimarahi, dia tak pernah membalas atau berkata yang buruk, sekadar berdiam diri atau kadang-kadang menangis :). Tutur kata yang lembut dan sentiasa tersenyum, membuatkan hatiku sentiasa tenang bila bersamanya. Aku yang kadang-kadang 'kasar' dalam percakapan, sedikit demi sedikit tersibghah dengan kelembutan dia. Dan bagaimana dia menjaga diri dalam pergaulan dengan lelaki sangat aku kagumi dan dalam hati terdetik cita-cita untuk menjadi sepertinya.

Dia juga selalu menjadi tempat untuk aku meluah perasaan. Aku tak kekok berkongsi rahsia dengan dia, dan aku suka mendengar nasihat dan pendapatnya. Bila dia sendiri tak mampu memberi nasihat yang baik, cukuplah dengan sekadar menjadi pendengar. Aku akan bercerita kepadanya sambil menangis, itu sudah cukup bagiku untuk melepaskan gundah dan kesedihan dalam hati.



Pernah seorang sahabat lain mengusik dan bertanya, kenapa aku kerap menghubungi ukhti ini, dan bukan orang lain?
Aku sekadar tersenyum dan dalam hati mengiyakan.
Kerana walaupun sekadar mendengar suara ukhti ini, hatiku akan tenang dan damai.
Dan mungkin juga kerana dalam hati aku memang ada tempat yang istimewa untuknya :)

Kini ukhtiku bakal bernikah beberapa hari lagi. Aku sangat gembira untuknya, tapi jauh dalam sudut hati ada rasa sedih. Tak tahu kenapa, mungkinkah kerana masanya nanti bukan sekadar untuk akhawat, tetapi untuk suami? wallahu a'lam. Apa-apa pun, aku mendoakan yang terbaik untuknya dan moga mereka hidup berbahagia dunia dan akhirat. Dan aku ingin katakan kepada akh yang bakal menjadi suaminya, bahawa dia sangat beruntung memiliki ukhtiku yang solehah ini. 

Moga Allah memberkati pernikahan ukhtiku dan bakal suaminya,
Moga Dia menghimpunkan mereka suami isteri dalam kebaikan.
Dan moga bait muslim yang dibina menjadi salah satu asbab kepada kelangsungan dakwah, inshaAllah.
Dan tak lupa juga, doa yang sentiasa aku ungkapkan dalam sujudku,
Supaya Allah sudi menghimpunkan kami di syurga nanti, sebagaimana Dia juga mentakdirkan kami berukhuwwah di dunia.

Kerana aku sayangkan ukhtiku kerana Allah.





Friday, January 11, 2013

tangga kedua

Bismillah.

Blog ni dah terlalu lama dibiar bersawang. inshaAllah target thn baru 2013 ni, nak kembali rajin update blog. sebab apa? Memandangkan kehidupan di Mesir yg berbaki setahun saja lagi (jika diizinkan Allah, grad by Feb 2014), maka aku berhasrat nak mencoret seberapa banyak kisah2 dan pengalaman selama di bumi kinanah ini. kalau bukan utk org lain baca pun, utk self-satisfaction.Dah tua2 nnt boleh senyum sorang2 baca balik post2 lama :) Tambah pula aku ni pelupa orgnya. selalu sgt lupa event2 bermakna dlm hidup huhu.

Ala kulli haal, semalam hari Rabu. macam biasa, Rabu adalah hari usrah kami. usrah kami ni mmg legend, tak tukar2 ahli pun dah bertahun2. tertubuh (ceh macam apa je tertubuh) sejak tahun 2007 ; beberapa minggu selepas menjejak kaki di bumi Mesir. Ahlinya tetap kami ber8 tak bertukar-tukar. Yang bertukar adalah naqibah2 kami. Setiap naqibah dan murabbiah kami ada sejarah pahit manisnya dgn kami semua yg inshaAllah akan ingat sampai bila2 :')

Apa yg special dgn usrah kami semalam,  ini usrah terakhir sblm salah seorang ahli usrah kami balik Malaysia utk majlis walimahnya. beliau adlh Mem ke2 dlm usrah kami, slps Mem 1 menjuarai yg lain2 dlm menaiki tangga Maratib Amal yg ke2. Yang menariknya, Mem1 dan Mem2 ni bakal berbiras kerana kedua suami mereka adlh pasangan kembar. Daripada ukhti seusrah, housemate,mereka bakal menjadi ahli keluarga. Cantiknya perancangan Allah kan :)

Maka sesi usrah semalam, selain pembentangan tafseer dan seerah, naqibah kami menyelitkan juga tazkirah2 khas utk bakal pengantin dan juga anak2 usrahnya yg masih bujang lagi ni. Makcik UB (naqibah kami) memberi taujihat2 dan pesanan2 sbg persediaan menjadi seorang isteri. Antara nasihatnya adlh bagaimana seorang wanita, apabila sudah menetapkan keputusan utk berkahwin dgn suaminya, maka dia seharusnya menyerahkan seluruh kehidupannya dlm perkahwinan tersebut. Susah senang, pahit manis, dilalui bersama suami, tanpa melibatkan ahli keluarga lain.

Katanya, seeloknya selepas berkahwin, suami isteri duduk berasingan dengan keluarga. supaya lebih berdikari dan tak rasa kebergantungan kpd family masing2. Susah macam mana pun hidup dgn suami, jangan pernah nak berpisah dgn suami dan balik tinggal rumah mak. Sebab kesusahan hidup bersama tu yg akan menjadikan ikatan perkahwinan lebih kukuh. Sebab tu lah makcik agak menentang konsep PJJ (perkahwinan jarak jauh). Bila kami cerita padanya ttg student malaysia di mesir yg kebanyakannya mengamalkan PJJ, makcik tak boleh terima! katanya tempat isteri adalah di sisi suami, kalau duduk berjauhan, apa fungsi perkahwinan tu? Kami hanya mampu tersenyum kelat, tak tahu nak respon apa hehe.

Kami ceritakan juga kpd makcik, bagaimana kebiasaan org Melayu bila isteri bersalin, suami akan hantar balik kampung atau tinggal bersama mak dlm tempoh berpantang. Lagi sekali makcik terkejut dan tak boleh terima kebiasaan sebegitu. Kata makcik, sepatutnya suami pun kena turut sama bersusah payah dgn isteri; jaga isteri waktu berpantang, berjaga malam utk baby, dan lain2. Biarlah takde pembantu, asalkan suami isteri tak berpisah. Kalau hidup berjauhan, sang suami akan ada tendency utk melepaskan tanggungjawab, dan kemungkinan utk dia mencari 'orang lain' agak tinggi juga. Bila difikirkan, ada benarnya jugak kata2 makcik.

Dan pesanan makcik yg buat aku terkesan semalam, tentang bagaimana muamalah suami isteri yg sepatutnya. Katanya, seorang isteri seharusnya menjadikan suami sbg raja di rumahnya,berhias dan melayan utknya. Kalau suami marah, jangan lawan walaupun yg salahnya adalah suami. Sebaliknya tunggu dia reda dari kemarahan, barulah bawa berbincang. Bila berbincang, isteri perlu rasionalkan dan tegur suami jika ada kesalahan yg dia buat. Tapi jangan sesekali tegur atau cuba bagi nasihat bila sang suami tengah naik angin! Bila makcik nasihat mcm tu, aku terus tanya Mem 1; "Susah tak nak buat macam tu?" jawabnya, "Susah, tapi belajarlah" huhu mmg susah, lagi2 untuk aku yg agak senang naik marah dan ego ni. Mulanya agak susah nak terima nasihat makcik ni, tp itulah ciri-ciri isteri solehah kan? Syurganya pada suami, maka redha suamilah yg perlu dicari setelah redha Allah dan Rasul, betul tak?

Agak kelakar juga bila fikir diri sendiri buat entry tentang baitul muslim. Isu kahwin adalah topik yg aku kurang gemar nak ulas, mungkin sbb isu kahwin ni dah terlalu common especially di Facebook; dgn post dan status "mencari bakal imam/makmumku" yg tak sudah2. Tapi walaupun diri kita takdelah nak cari "bakal imam" sgt buat masa sekarang, benda yg aku perlu sedar adalah ttg persediaan ke arah baitul muslim tu perlu bermula dari sekarang. Bukan sekadar persediaan fizikal atau skill2 memasak, tp yg paling penting pembentukan peribadi,pembentukan fikrah, tingkah laku dan disiplin. Bagi yg bergelar daeiyah yg ingin membentuk baitul muslim dakwah pula, perlu juga fikir apa hadaf dan perancangannya dlm perkahwinannya. Bagaimana nak mendidik dan mentarbiyah bakal anak2nya nanti? Bagaimana hendak menjadikan bait muslim yg dibina menjadi kelangsungan kepada dakwah? Memang semua org boleh berkahwin, tp mampukah kita jadi isteri/ibu yg baik dgn peribadi kita yg sekarang? Maka islah diri itulah persediaan yg paling penting,selain pening2 kepala fikir siapa bakal imam ect ect.


Alhamdulillah, aku bersyukur kerana melalui usrah secara tidak langsung telah mengubah beberapa sudut pandang dalam hidup aku, khususnya tentang sebuah perkahwinan. Walaupun tak dinafikan, banyak lagi yg perlu dipelajari :)



Thursday, January 3, 2013

niat

Bismillah.

Alhamdulillah wasyukru lillah.

Hari ini Allah kurniakan lagi nikmat iman dan islam kpd kami, dan tanpa pernah jemu mengizinkan lagi kami menghirup udara milikNya, menjalani kehidupan seharian dengan panca indera kurniaan dariNya. tanpa lokek dia mengurniakan nikmat , walaupun hamba-hambaNya yang hina ini kadang terlupa  mengucap kalimah syukur, walau sepatah pun memuji kebesaranNya.

Alhamdulillah wa syukrulillah.

Hari ini, permulaan hariku sangat indah. Aku dan anak2 usrahku a.k.a adik2 bulatan gembira memulakan hari kami dgn jilsah ruhiyah kami seawal sebelum subuh. mahu kelainan katanya, krn selama ni mau'id kami selalu dibuat pada waktu malam. sekali sekala bertukar angin, alhamdulillah menarik juga dan tak mengantuk pun sebenarnya. :) ditambah pula dgn ketiadaan masa disebabkan semua ahli usrah sibuk dgn urusan kuliah dan sebagainya (baca: ahli usrah yg terdiri dari 2 universiti berbeza, 2 jurusan; Medic dan Dentist, dan 4 batch yg berbeza) agak sukar nak menemui masa yg sesuai. akhirnya jam 4 pagi menjadi pilihan.

Apa yg menjadi kelainan juga pada usrah kali ini, kerana ini adalah usrah terakhir sebelum 2 anak usrahku berangkat ke bumi Gaza pada keesokan pagi, bersama Misi Aqsa Syarif ke 12 dari Malaysia.

Perkongsian kami pada hari ini sangat ringkas, tapi terasa ruhnya. Jilsah dibuka dengan tadabbur beberapa ayat dari Surah Tahrim, Surah Zumar dan Surah Sad, yg kesemuanya bertemakan tentang syurga. Kemudian akhirnya ditutup dgn perkongsian dan harapan dari anak2 usrah ku yg menyertai misi ke Gaza kali ini. Mereka memang berjiwa besar, menjadi peserta misi bukan sekadar suka2 tapi mereka menyedari hakikat tanggungjawab dan amanah besar yg digalas sbg seorang peserta misi. Perkongsian keduanya akhirnya menjadikan jilsah kami akhirnya menjadi tempat curahan air mata. kepada siapa lagi nak mengadu kalau bukan ukhti sendiri, ahli usrah sendiri kan? :)

Alhamdulillah, aku bersyukur Allah telah memilih ukhti2 ku terutama anak2 usrahku menjadi antara mereka yg bakal menjejakkan kaki ke bumi barakah itu. Semoga perginya mereka membawa manfaat yg besar dan membawa pulang mutiara2 berharga utk dikongsi bersama. Semoga mereka pulang menjadi 'orang' baru yg lebih baik, yg lebih jelas dan luas pandangan hidupnya sebagai seorang muslimah.

Namun, bohonglah kalau aku katakan, tiada langsung rasa iri dalam hati terhadap akhawat2 yg menyertai misi kali ini.Jujurnya, ketika tawaran ke Gaza sampai di hadapanku, aku teragak-agak nak menerimanya. Aku langsung tiada kekangan, keluargaku membenarkan, dan aku tiada kekangan kewangan. Namun ada sesuatu yg menyekatku.

Niatku.

Aku dapat merasakan niatku masih belum benar2 kholis lillah, bulat sepenuhnya hanya kerana Allah.

Kenapa aku mahu ke Gaza?

Hanya sekadar semangatkah? Atau ada kepentingan lain yg hendak diraih?

Menyedari masih ada saki baki jahiliyah dalam hati, aku batalkan hasratku utk memohon menjadi peserta. sedangkan peluang sudah terbuka seluas-luasnya.

Sedangkan hanya Allah sahaja yg tahu, betapa aku kepingin mahu ke bumi barokah itu.

Mungkin ramai manusia di luar sana yg mengata, "asyik2 Gaza, asyik2 Gaza, tak update pasal benda lain ke?"

Sangkaku mereka tak mengerti, betapa kami sudah jatuh cinta dgn Gaza dan manusianya.

Mendengar perkongsian dari mereka yg telah menjejakkan kaki ke bumi Gaza dan yg telah bertemu mata dgn manusia2  pilihan Allah itu, cukup membuatkan hati aku meronta-ronta mahu ke sana.

Aku mahu ke Gaza, kerana aku mahu menyerap ruh AlQuran dari mereka. Mereka yg dahulunya hina dan ditindas kerana pernah meninggalkan AlQuran, kini bangkit semula menjadi barisan paling hadapan yg mempertahankan agama Allah dan tanah suci Al-Aqsa. Mereka kini bukan mereka yg dahulu, kerana pejuang Gaza yg ada pada hari ini adalah mujahidin yg lahir dari madrasah AlQuran. Pejuang yg terpilih dari kalangan mereka adalah yg paling mesra dgn AlQuran. maka selayaknya mereka dipilih Allah utk menjadi di antara yg dikurniakan syahid!

Aku mahu ke Gaza, kerana aku rindukan pertemuan dgn orang2 soleh. Kerana nikmat terindah bagi mukmin itu adalah nikmat ketika bertemu dgn Allah, dan ketika bertemu dengan para auliya' dan solihin. Aku mahu melihat sendiri, generasi yg ditarbiyah dgn AlQuran ini, yg kadang sifat mereka ini seperti yg kita baca dalam kisah2 sahabat dan generasi salafussoleh terdahulu. Di Gaza adanya rijal spt Khalid AlWalid yg sangat cintakan jihad fisabilillah, di Gaza juga adanya wanita spt Khansa' ibu yg redha dgn syahidnya 5 puteranya.

Aku juga menanam niatku, jika aku diizinkan ke sana, aku mahu garap dan menyedut perkongsian drpd para wanita dan ibu2 di Gaza, ttg bagaimana mereka mampu mentarbiyah anak2 mereka menjadi pejuang Islam yg sangat cintakan AlQuran dan cintakan syahid. Kerana aku sangat2 mengimani, bahawa rijal dan mujahidin luar biasa yg kita lihat itu pastinya lahir hasil didikan manusia yg lebih luar biasa hebatnya bernama seorang ibu.

Namun di sebalik segala keinginan yg meronta-ronta ini, terpaksa aku tahan kehendak hati. Kerana ada lagi jahiliyah dalam hati yg perlu aku tanggalkan. supaya pergiku nanti semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah tanpa ada kepentingan dunia yg lain.

Moga Allah mengizinkan aku menjadi antara yg terpilih utk ke sana di masa akan dtg, di waktu yg terbaik dlm hidupku.

Dan moga ikhwah akhawat yg menyertai misi kali ini selamat segalanya. selamat pulang atau selamat menjadi syahid, biiznillah :)