Pages

  • RSS

Tuesday, January 29, 2013

bahan bakar

Kamu tahu apa perkara yang paling menyakitkan bagi seorang aktivis dakwah?

Apabila dia aktif berbuat dakwah dan berprogram ke sana ke mari, menyeru manusia kepada Islam,  tetapi tidak mampu menarik ahli keluarganya sendiri kembali menjadi muslim yang sejati.

Sangat menyakitkan Apabila daie yang selama ini kelihatan hebat berdakwah di luar, namun kata-kata nasihatnya langsung tidak diendahkan oleh ibu bapanya, ahli keluarganya, atau saudara terdekat, dan kadang-kadang diperlekahkan pula.

Melihat ahli keluarganya sendiri terang-terangan melakukan maksiat kepada Allah.
Terasa semacam duri yang mencucuk-cucuk ke dalam hati.

Bukan seorang dua yang pernah aku temui dari kalangan aktivis dakwah, yang anak-anaknya "tidak menjadi". Di luar dia begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana amal dakwah dan akhlaknya yang terpuji. Namun di rumah, tiada siapa yang tahu bagaimana dia menangis bersama sang isteri saban malam, memohon Allah memberi petunjuk kepada anak-anaknya yang telah tersasar jauh dan hanyut dalam dunia.
Allah...betapa Allah telah mengujinya dengan zuriatnya sendiri.

Pernah aku bertanya kepada mereka, apa perasaan mereka?
Katanya, itulah adat resam dan tribulasi dalam dakwah dan hidup berkeluarga. Sedangkan Nabi Nuh Alaihissalam pun diuji dengan anak dan isteri yang derhaka kepada Tuhan, dan akhirnya diazab Allah di depan matanya sendiri. Tidakkah luluh hati Nabi Nuh sebagai ayah dan suami, apabila melihat zuriat dan isterinya sendiri tergolong dalam mereka yang dimurkai Allah, sedangkan baginda adalah seorang Rasul?

Ya, mungkin manusia boleh mengata dan mengumpat. Siapa mahu mendengar kata-kata nasihat dari mereka  yang anaknya sendiri 'tak menjadi orang'? Ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.Namun itu bukan penyebab dakwah harus ditinggalkan lantaran malu dengan orang sekeliling.Dakwah perlu diteruskan, berserta dengan doa yang tak putus-putus dan penuh pengharapan kepada Allah yang memegang hati-hati manusia. Berdoalah supaya Allah melembutkan hati ahli keluarga supaya kembali kepada fitrah, dan menjadi muslim yang sejati.

Bahkan aku pernah mendengar kisah tentang sepasang suami isteri penggerak dakwah. Kisah si isteri dipukul oleh suami kerana panas baran, yang melarikan diri ke rumah seorang ukhti lain untuk menyelamatkan diri. Akhirnya si suami terpaksa dikawal dan ditenteramkan oleh ikhwah-ikhwah yang lain. Bila dengar kisah-kisah seperti ini, terasa ganjil. Takkan du'at pun macam ini? Takkan anak-anak ikhwah akhawat pun perangainya begini seakan-akan tak pernah lahir dalam keluarga yang ditarbiyah?

Hakikat yang perlu kita telan, individu-individu dalam jemaah dan gerabak dakwah kita ini bukanlah malaikat. Ya, kita memang dididik dan ditarbiyah untuk memenuhi muwasafat yang tertentu, terdidik untuk memiliki keimanan dan akhlak yang terpuji. Namun jangan dilupakan, kita tetap adalah manusia yang tak lepas dari kelemahan dan kesilapan. Jemaah kita bukanlah jemaah malaikat, tetapi jemaah manusia, yang berhimpun untuk sentiasa mendapatkan support system dan membaiki diri dari semasa ke semasa.

Itulah hikmahnya hidup berjemaah. Itulah gunanya ada ikhwah dan akhawat. Sentiasa membantu satu sama lain untuk kebaikan bait muslim yang dibina bersama. Anak ukhti kita juga adalah anak kita. Jika anak-anak mereka bermasalah, ahli-ahli dalam jemaahlah yang memainkan peranan untuk membantu ibu bapa tersebut dalam memberikan penyelesaian. Bukannya saling menyalahkan atau membanding-bandingkan!

Melihat situasi-situasi sebegini dari kaca mataku yang masih belum membina keluarga sendiri kadang-kadang membuatkan aku takut. Betapa fitnah dunia yang sangat menyesatkan sehingga bait muslim yang mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka juga tak terlepas dari terkena percikannya. Dan kerana itulah, pembinaan diri dan tarbiyah aulad itu bukan perkara main-main dan perlu dirancang sebaiknya, malah seawal sebelum perkahwinan.

Dan kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Tahrim ayat ke 6 :



"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang BAHAN BAKARnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Maka apabila si daeiyah berdakwah, jangan sesekali menganak-tirikan dan melupakan ahli keluarganya.
Selamatkanlah diri kamu, dan ahli keluargamu dari menjadi bahan-bahan bakar di dalam neraka.

Muhasabah, sejauh mana kehadiranku setelah ditarbiyah memberi kesan yang baik kepada ahli keluargaku?

0 comments: