Pages

  • RSS

Monday, August 24, 2009

cukupkah sekadar rindu?

dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

sejahtera kepada mereka yang sentiasa mengharapkan maghfirah dan mardhotillah dariNya.

alhamdulillah, hari ini sudah 3 Ramadhan, 3 hari umat Islam melaksanakan syariat puasa di bulan penuh keberkatan ini.

tahun ini, biiznillah genap 30hari saya akan berpuasa di bumi Malaysia.tidak seperti 2 tahun sebelum ini, saya berkesempatan merasai nikmat menjalani ibadah puasa di negara orang.

percaya tak, bila saja Ramadhan bertandang, hati saya serta merta jadi sayu, dipagut rindukan suasana di Mesir.

Ramadhan di bumi para nabi itu, memang lain benar suasananya. lain benar manusianya. dan yang ajaibnya, lain benar perasaan yang bertandang di hati kami ketika menjalani madrasah ramadhan di sana.

hati yang sekeras batu bagai dilembutkan secara tiba-tiba.

saya jadi rindu.

rindukan suasana malam-malam di Mesir. rumah-rumah mereka yang akan diterangi lampu-lampu yang beraneka warna dan tanglung-tanglung ramadhan yang sangat cantik, bagaikan ada keraian selama sebulan ramadhan. tidak perlu bimbang lagi berjalan pulang ke rumah lewat malam usai solat terawikh di masjid. sungguh meriah ! jangan kata di Malaysia saja ada mercun, di sana pun ada juga. dan kerap kali juga kami pelajar perempuan Malizi di sana dibuli oleh kanak-kanak Arab dengan mercun mereka, kerana saiz tubuh kami yang lebih kurang saja dengan kanak-kanak arab di sana =)

'fanoos'
tanglung ramadhan tradisi Mesir

dan yang menariknya, lampu-lampu yang digantung seawal 1 Ramadhan itu, akan ditanggalkan pada malam 1 Syawal.dan mereka hanya meraikan eidulfitri ala-ala kadar sahaja.

kalau di Malaysia, lain pula ceritanya,kan?malam raya itulah segala macam perhiasan akan mula dipasang =)

rindu sungguh.

kisah di siang hari pun tak kurang menariknya. pak-pak arab yang bengis pada hari biasanya, secara automatik akan bertukar perangainya 180 darjah menjelang ramadhan. jika hendak tawar-menawar harga, ucap sahaja 'Ramadhan Kareem' kepada mereka dan doakan mereka, inshaAllah, mereka pasti berlembut hati dan akan memberikan harga yang murah. dan jika bernasib baik, tambang teksi juga boleh jadi percuma.

Al-Quran, usah katalah. jika di hari-hari biasa pun mereka sudah membiasakan diri membaca Al-Quran di mana-mana sahaja, apatah lagi di bulan Ramadhan. Cybercafe, farmasi, kedai runcit,kedai VCD, restoran, kedai jus, hampir kesemuanya akan diimarahkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran. di atas bas, di dalam Metro (keretapi), di kuliah, bahkan anda akan melihat, sambil berjalan pun mereka akan bersama-sama dengan Al-Quran dan membacanya !

Subhanallah.

tahun sudah, saya mengalami pengalaman yang menarik. ketika waktu ifthor hampir masuk, saya masih lagi tersangkut di dalam teksi untuk ke satu tempat. dalam hati sudah risau, kerana tiada walau sedikit pun makanan untuk dibuat berbuka puasa.

azan maghrib berkumandang.

'tafadhholi ya ukhti'

pemandu teksi itu menghulur sebungkus plastik, berisi 3 biji tamar kepada saya. rupa-rupanya dia memang sudah menyediakan beberapa bungkus tamar, untuk penumpang-penumpangnya barangkali. dan kami pun berbuka puasa bersama pemandu itu di dalam teksinya.

lebih menarik lagi, sepanjang jalan yang kami lalui, tak putus-putus ada insan pemurah yang akan menyedekahkan makanan kepada kami. bayangkan, mereka berdiri di tengah-tengah jalan yang sibuk, sambil mengedarkan pelbagai jenis makanan untuk mereka yang terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan. macam-macam ada. air mineral, air tamar hind (asam jawa), roti, tamar. langsung tidak perlu bimbang tentang ketiadaan makanan, jika anda terperangkap di jalan raya bila tiba waktu berbuka puasa.


ya Rabb, indahnya jika masyarakat di Malaysia juga sebegitu rupa.

terasa manisnya menjadi saudara seaqidah!

dan, perasaan rindukan suasana di masjid-masjidnya, usah dikata.

teramat-amat rindu.

Mesir, masjid-masjidnya akan sentiasa dipenuhi dengan jemaah yang datang untuk solat terawikh. sepanjang ramadhan, bahkan pada 10 malam terakhir ramadhan, masjid akan jadi lebih sesak daripada biasa!

rata-rata masjid di mesir, akan membaca 1 juzu' pada setiap malam, bagi 8 rakaat terawikh. kali pertama dulu, memang lenguh-lenguh kaki dibuatnya. fikiran melayang-layang, kerana bacaan yang panjang. tapi kami pelajar melayu belajar sesuatu daripada orang arab di sana. kami membiasakan diri solat terawikh dengan memegang Al-Quran, dan ia memang dibolehkan bagi solat-solat sunat. lebih baik lagi jika memegang Al-Quran terjemahan, kerana jika imam membaca ayat-ayat amaran, ayat tentang neraka dan siksaan Allah, inshaAllah kita juga akan memahaminya dan menangis bersama-sama imam dan jemaah solat yang lain. =)


pada 10 malam terakhir ramadhan pula, masjid-masjid akan lebih diimarahkan. masjid-masjid akan dibuka sepanjang malam, bagi membolehkan jemaah beriktikaf, tidur di masjid, dan Qiyamullail secara berjemaah. mashaAllah, satu pemandangan yang sangat menakjubkan bagi saya, kerana bilangan jemaah yang datang qiyamullail di sebuah masjid yang pernah saya kunjungi, bilangannya hampir sama ramai dengan jemaah solat Jumaat. dan yang lebih mengagumkan, jemaah wanita juga memenuhi ruang solat muslimat, sehinga terpaksa solat di luar masjid.

dan solat tahajud, solat hajat, solat taubat, dan solat witirnya, setiap satu solat akan dibacakan setengah juzu' daripada Al-Quran, dengan doa qunut yang dibaca hampir setengah jam lamanya.

tidak hairanlah qiyamullail jam'ie yang bermula seawal 1 pagi, akan tamat pada jam 3 pagi.

dan bila tiba waktu sahur, jemaah akan berkumpul untuk bersahur bersama-sama. dan ketika itulah kami akan bertukar-tukar makanan, dan merasai pelbagai jenis makanan-makanan dari pelbagai negara. Ada makanan Mesir, Sudan, Yaman, Afrika, Indonesia, India, dan Malaysia. =)


menarik, kan?

tentu anda kini memahami, kenapa saya begitu rindukan madrasah ramadhan di Mesir.

lalu, apa yang perlu saya lakukan?

hanya bersedih hati dan kecewa dengan suasana ramadhan di Malaysia, yang kurang hebat dan kurang meriah?

atau menuding jari kepada umat Islam di Malaysia, kerana tidak mengimarahkan ramadhan yang mulia ini sebagaimana umat Islam di negara lain?

atau menyalahkan dan mencaci maki media dan kerajaan, kerana di dalam bulan penuh barakah ini masih lagi menyiarkan rancangan penuh maksiat di kaca TV?

atau menghantar komen mengutuk pusat siaran radio di negara ini, yang tidak menyiarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di corong radio sepanjang bulan ini?

Akhirnya, tidak dapat tidak, seluruh jari ini sewajarnya menuding jari kepada diri saya sendiri, jika saya sendiri tidak berusaha untuk menjayakan madrasah ramadhan di tanahair, sepertimana yang pernah saya lalui dengan manis sekali, sewaktu di Mesir.

jika tidak, selama-lamanya lah saya akan berterusan merindukan ramadhan di mesir saban tahun, sedang bi'ah di negara sendiri langsung tidak diimarahkan!

bermaknakah rindu itu, jika ia langsung tidak membuahkan amal?

sekadar rindu tidak mencukupi.

iman itu tidak boleh dibeli. semangat dan kerajinan dalam beribadah tidak mampu dipinjam. diri ini perlu membiasakan diri, supaya sentiasa bersemangat untuk memperbanyakkan ibadah, bila-bila masa dan di mana jua.bahkan pada bulan-bulan yang biasa. iman bukannya hanya mencanak tinggi, jika kita berada dalam bi'ah yang solehah, dan kembali mengempis bila kita berada dalam suasana yang tiada sifat islami.

Ia perlu dididik, dan madrasah tarbiyah itu menjadi lebih mudah dengan keberkatan ramadhan.


Moga Allah menerima amalan kita tak kira di mana kita berada, moga ianya jauh dari ujub & riak, moga Istiqamah & moga hasil Ramadhan ini adalah Taqwa, seperti yang Allah kehendaki:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang2 beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sepertimana diwajibkan kpd orang2 terdahulu sebelummu, AGAR KAMU BERTAQWA.”

(Al-Baqarah:ayat 183)

.

Ramadhan kareem.

kullu 3am, wentu filkheyr, wa firrohmah, wa fil maghfirah,inshaAllah.


5 comments:

MimY LianA said...

bagus benar

ramadhan mesir, dan ending entry ini

nice nice =)

muharrikdaie said...

Memang saya akui best dimesir ...apalagi bila berkesempatan berpuasa dimekah. Suasananya lebih kurang sama cuma tak ada tang long. Namun semangat ibadah tu yang menjadikan kita kerinduan.

Hazim Azhar said...

Wa... tetibe je rindu kat Mesir~

Padehal baru je sampai malaysia.

memikirkan kelebihan mereka dalam membudayakan quran ketika ramadhan, memang cemburu.

Saya terfikir, andai kita dapat mengamalkan budaya ini dan membawanya tanpa segan silu, pasti ramadhan di sini menjadi lebih bermakna.

Jom baca quran dalam bas~ =)

adiLa said...

waa rindu (taktaw nk guna term apa) jugak..
(padahal tak pernah pegi mesir pun, tapi membacanya rasa 'rindu'..huu)

.n.a.k. said...

salam..kak huda
wah..bestnya!!
nak merasa sungguh
semoga budaya tu smpi di malaysia dgn adanya org2 macam akak

harap2 kat jordan pon sama

^_^