Pages

  • RSS

Tuesday, June 12, 2012

Salah siapa?

Menjelang Pilihanraya Presiden Mesir Fasa ke 2, semua sibuk memperkatakan tentang calon pilihan masing-masing. sama ada memilih calon pro-Islamis Dr Mohammad Morsi atau calon bekas regim Mubarak, Ahmad Syafiq. Rakyat dari segenap lapisan masyarakat kini bebas berbicara tentang politik, tidak seperti Mesir fasa sebelum revolusi. Hendak mengkritik Mubarak dan konco-konconya, jangan harap! Revolusi Mesir juga seperti membawa rahmat bagi kami untuk mengutip tarbiyah dari bumi AlBanna ini. Dahulu, nak ke usrah takut-takut. Buku usrah pun berbalut. Terutama buku yang terpampang muka pakcik ISHAB di depannya. Sekarang? Pergi sahaja ke mana-mana program Ikhwan Muslimin, tiada yg akan melarang, bahkan mereka lebih-lebih lagi mengalu-alukan kedatangan wafidin :)

Pilihanraya Presiden Mesir Fasa Pertama yg lalu, yang mengejutkan dunia dengan pelbagai warna warni politik Mesir. Ya, Mesir memang menarik dalam segenap aspek. Negaranya, sejarahnya, rakyatnya, bahkan politiknya. Dr Morsi yang pada asalnya menjangkakan kemenangan dengan capaian undi minima 9 juta (33%) hanya mampu meraih 5.7 juta undi. Secara amnya, Dr Morsi, calon tajaan FJP dan pembawa simbol islamis, meraih 25& dari jumlah undian, begitu juga Ahmad Shafiq juga meraih hampir 25%. Selebihnya 50% berpihak kepada Hamden Sobahi, Abul Munim Futouh dan Amr Mousa.

Ya, kejutan yang Mesir bawakan ialah bagaimana undian ke2 terbesar boleh berpihak kepada Ahmed Shafiq calon fulul bekas regim Mubarak? Dunia seolah-olah 'pening', apa sebenarnya yang diharapkan oleh rakyat Mesir dari Revolusi 25Jan yang lepas? Adakah mereka rela kembali ke zaman sebelum revolusi yang penuh korup dan penindasan? Tidakkah mereka merasakan mereka telah mengkhianati darah para syuhada' revolusi yang berkorban demi menjatuhkan regim Mubarak itu?

Adat manusia, hampir semua orang meluat dengan korupsi, penindasan dan perangai hodoh regim Mubarak. Tetapi tidak bermakna semua orang sukakan Islam, dan tidak sedikit juga yang anti dan meluat dengan Islam. Ditambah lagi dengan persepsi negatif yang dimainkan oleh media dan pro-regim untuk menakutkan umat dengan Islam.

Dengan kehangatan bahang pilihanraya ini, saya cuba untuk memahami apa sebenarnyayang rakyat Mesir ini fikirkan, terutamanya MENGAPA mereka begitu tegar menyokong Ahmad Shafiq.

Baru-baru ini ketika kami dalam perjalanan ke Hayyu Asyir dengan menaiki teksi, saya cuba menghidupkan suasana dengan berbual-bual dengan pemandu teksi kami,lelaki berumur yang merupakan seorang kristian.

"Pakcik, siapa yang akan kamu undi pada piihanraya presiden nanti?"

" Sudah tentu Ahmad Shafiq!"

"Kenapa? Bukankah dia fulul regim Mubarak? Kamu nak kembali ke zaman sebelum revolusi kah?"

"Apa yang kamu faham tentang fulul? Fuul (to'miah) kah??" sambil tergelak-gelak pakcik tu menjawab.

*nota; fulul mengikut kefahaman saya yg tak seberapa ini bermaksud saki-baki. kalau salah betulkan ye :)*

Saya tersengih kepada pakcik itu yang cuba nak berlawak agaknya.

"Aku sokong Shafiq sebab aku tahu dia akan bawa kemajuan kepada Mesir!"

"Kenapa tidak Morsi? Kau tak yakinkah kepada Morsi?"

"Ya, aku tak yakin. Sebab dia 'rojul mutadayyin' (lelaki yang beragama). Orang yang beragama tak mampu nak mentadbir negara. Aku bukan menolaknya kerana dia Muslim. Tidak! Sedangkan Pope kami (baru meninggal dunia beberapa bulan lepas) juga menyuruh kami untuk memilih calon Muslim berbanding calon Kristian jika Muslim itu diyakini lebih adil dan mampu mentadbir negara. Aku bukan diskriminasi agama. Bahkan Shafiq juga Muslim bukan? Jadi apa salahnya aku memilih Shafiq? "

"Kenapa kau kata lelaki beragama tak mampu jadi pemimpin?"

"Cuba kau bayangkan kalau Morsi jadi presiden. Nanti menteri-menteri di Mesir semuanya akan berjanggut panjang dan berjubah. Kau lihat sajalah apa yang mereka canangkan dalam Parlimen Mesir baru-baru ini. Mereka (IM dan Salafi) nak laksanakan 'Siyahah Islamiyah'/ Perlancongan Islamis. Kau boleh bayangkan apa akan jadi nanti? Takkan ada pelancong yang akan datang ke Mesir kerana peraturan untuk menutup aurat! Mereka juga nak laksanakan sistem perniagaan Islam. Bagaimana tu? Adakah mereka nak tutup semua kedai yang menjual baju yang tak menutup aurat dan hanya menjual abaya dan jilbab? Mereka juga mempertikaikan kepentingan belajar bahasa-bahasa lain dan hanya menekankan untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Arab. Sedangkan jika kita nak maju dan setanding dengan negara lain, kita perlu menguasai pelbagai bahasa! Kan aku dah kata, orang2 agama ini tak mampu nak jadi pemimpin. Kau setuju tak dengan aku?"

" Tak. Aku langsung tak sependapat dengan kau."

"Sebab?" sinis pakcik tu bertanya. Sambil matanya mengerling aku di belakang melalui front mirror.

"Kerana bagi kami umat Islam, politik dan agama itu tak pernah dipisahkan. Sedangkan nabi kami Muhammad SAW, dialah Nabi, dia juga ketua negara, dialah ketua keluarga, dia juga Jeneral di medan perang. Islam memang tidak boleh dipisahkan dalam semua aspek kehidupan!"


"Ya, aku setuju tentang itu. Aku tahu Nabi kamu memang hebat. Tapi itu dia. Tak boleh nak disamakan dengan kita yang hidup di zaman sekarang. Zaman sekarang, 'rojul mu3tadil'/ lelaki biasa2 yang kurang beragama lebih aku yakini untuk dijadikan pemimpin. Aku tak boleh bayangkan jika orang agama menjadi pemimpin. Pasti Mesir akan jadi lebih mundur, mungkin kembali ke zaman batu agaknya!"

Perbualan berlanjutan apabila pakcik menceritakan perihal umat Islam di Mesir yang mundur dalam pelbagai aspek terutamanya bidang pendidikan. Tentang Universiti Al-Azhar (khas untuk orang Islam) yang tidak bersistem, tentang peratusan anak2 Kristian di Mesir lebih ramai berpendidikan tinggi berbanding peratusan anak2 Muslim. dan banyak lagi.


Apa yang dapat kami simpulkan dari perbualan selama hampir sejam di dalam teksi itu?


1. SEKULARISMA. fikrah yang menular dalam pemikiran non-muslim bahkan muslim sendiri. bukan pakcik kristian ini sahaja yang berfikiran 'Negara akan mundur jika ditadbir oleh orang beragama mengikut syariat Islam'. Bahkan saya yakin majoriti muslimin atas dunia ini ramai yang berfikiran begitu, hatta Muslim di negara kita sendiri di Malaysia. pemikiran yang memisahkan agama dengan kehidupan. agama hanya untuk aspek ibadah, akhlak dan spiritual sahaja.

2. Betapa Muslim sendiri tidak menggambarkan Islam yang sebenar dalam kehidupan, sehingga manusia yang melihat tidak yakin bahawa Islam adalah cara hidup yang sebenar. Islam is the best solution! Bagaimana mereka mahu mengimani frasa itu jika apa yang mereka lihat di sekeliling mereka adalah umat Islam yang pengotor, suka bergaduh, pemalas, rasuah, korupsi, penghisap dadah dan sebagainya?  Salah siapa jika manusia di sekeliling pesimis terhidap Islam? Tidak dapat tidak, akhirnya tudingan jari itu disalahkan kepada diri kita sendiri, kerana Muslim lah yang menjadi fitnah kepada agamanya sendiri!

3. Ketiadaan KHILAFAH atau DAULAH ISLAMIYAH untuk menjadi role model terbaik dalam melaksanakan sistem Islam yang sebenar. Kami jadi kelu untuk berhujah dengan pakcik tersebut, kerana memang tiada satu negara LANGSUNG  di zaman ini untuk kami jadikan contoh dan hujah, bahawa Islam adalah solusi terbaik dalam pentadbiran negara. Nak bawa contoh zaman kegemilangan Madinah, Abasiyyah atau Turki Uthmaniyah? Golongan seperti ini lebih beriman dengan apa yang ada di depan mata, bukannya yang hanya wujud dalam lipatan sejarah!

4. Peranan kita, each one of us, untuk menjadi Muslim yang hebat dan pakar dalam bidang masing-masing, yang menguasai pelbagai cabang ilmu, supaya kita tidak menjadi fitnah bagi agama kita sendiri. Jika kita Doktor, jadilah doktor pakar, yang dalam masa yang sama adalah seorang huffaz AlQuran atau pakar hadith Rasulullah SAW. Jika anda seorang Engineer, rebutlah hingga pangkat IR (atau ada lebih tinggi dari itu?) yang pada masa yang sama menjadikan Sejarah sebagai cabang ilmunya. Dan apa-apa juga posisi yang anda pegang, jangan dilupakan pekerjaan utama kita yang ditetapkan oleh Allah sejak azali, bahawa setiap dari kita adalah Da'ie, penyeru manusia kepada Islam dan AlHaq.

Sebagai penutup, ingin saya menyeru kepada semua untuk tidak berhenti berdoa untuk kejayaan Islam di bumi Mesir. Pilihanraya presiden kali ini adalah medan pertempuran antara Haq dan Batil. Moga Allah memberi kemenangan kepada Dr Mohammad Morsi, berkat doa, solat hajat, usaha dan amal jam'ie dari mereka yang ikhlas dalam mempertahankan agama Islam, khasnya Jamaah Ikhwan Muslimun itu sendiri.



Dan jangan lupa doakan kejayaan kami yang juga akan berjihad  dalam medan pertempuran kecil bersama kertas soalan Obstetric & Gynaecology dan Paediatric nanti :))



wallahu a'lam.




1 comments:

Ikram MN said...

Alhamdulillah. Jumpa jugak ulasan pasal ni.
Memang pelik jugak bila fikirkan susah payah diorang tumbangkan Hosni Mubarak, akhirnya pilih fulul Hosni Mubarak jugak.
Tak dapat dikaitkan logik di situ