Pernah dengar hadith ini?
مَثَلُ الْجَلِيسِ
الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ
الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ
تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ
مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Ertinya: Perumpamaan kawan
yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak
wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan menjadikanmu
membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi
pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya
yang busuk kepada badanmu.
(Sahih al-Bukhari dan Muslim)
Benar sabda Nabi SAW. Apabila kita memilih untuk berkawan dengan sahabat yang baik, pasti tempias kebaikannya sedikit sebanyak akan mempengaruhi kehidupan dan peribadi kita.
Aku juga punya seorang ukhti/sahabat, yang peribadinya sangat aku kagumi. Perwatakan dan akhlaknya memang menggambarkan ciri-ciri seorang muslimah solehah. Pernah kami bergurau dan beri gelaran kepadanya "bidadari" dan "qurratu a'yun/penyejuk mata". Dan aku menjadi saksi, bahawa gelaran yang diberi itu bukan sekadar gurauan, malahan memang sangat kena pada tuannya.
Dia yang aku kenali sejak 6 tahun lalu yang juga adalah ukhti seperjuangan dalam jalan dakwah, bukan sahaja tidak pernah marah, malah tak pernah menzahirkan kemarahannya. Hatinya sangat lembut dan mudah tersentuh. Bila mendengar taujihat dan bacaan doa yang menyentuh hati, dia selalu menjadi yang pertama mengalirkan air mata. Bila kami dimarahi, dia tak pernah membalas atau berkata yang buruk, sekadar berdiam diri atau kadang-kadang menangis :). Tutur kata yang lembut dan sentiasa tersenyum, membuatkan hatiku sentiasa tenang bila bersamanya. Aku yang kadang-kadang 'kasar' dalam percakapan, sedikit demi sedikit tersibghah dengan kelembutan dia. Dan bagaimana dia menjaga diri dalam pergaulan dengan lelaki sangat aku kagumi dan dalam hati terdetik cita-cita untuk menjadi sepertinya.
Dia juga selalu menjadi tempat untuk aku meluah perasaan. Aku tak kekok berkongsi rahsia dengan dia, dan aku suka mendengar nasihat dan pendapatnya. Bila dia sendiri tak mampu memberi nasihat yang baik, cukuplah dengan sekadar menjadi pendengar. Aku akan bercerita kepadanya sambil menangis, itu sudah cukup bagiku untuk melepaskan gundah dan kesedihan dalam hati.
Pernah seorang sahabat lain mengusik dan bertanya, kenapa aku kerap menghubungi ukhti ini, dan bukan orang lain?
Aku sekadar tersenyum dan dalam hati mengiyakan.
Kerana walaupun sekadar mendengar suara ukhti ini, hatiku akan tenang dan damai.
Dan mungkin juga kerana dalam hati aku memang ada tempat yang istimewa untuknya :)
Kini ukhtiku bakal bernikah beberapa hari lagi. Aku sangat gembira untuknya, tapi jauh dalam sudut hati ada rasa sedih. Tak tahu kenapa, mungkinkah kerana masanya nanti bukan sekadar untuk akhawat, tetapi untuk suami? wallahu a'lam. Apa-apa pun, aku mendoakan yang terbaik untuknya dan moga mereka hidup berbahagia dunia dan akhirat. Dan aku ingin katakan kepada akh yang bakal menjadi suaminya, bahawa dia sangat beruntung memiliki ukhtiku yang solehah ini.
Moga Allah memberkati pernikahan ukhtiku dan bakal suaminya,
Moga Dia menghimpunkan mereka suami isteri dalam kebaikan.
Dan moga bait muslim yang dibina menjadi salah satu asbab kepada kelangsungan dakwah, inshaAllah.
Dan tak lupa juga, doa yang sentiasa aku ungkapkan dalam sujudku,
Supaya Allah sudi menghimpunkan kami di syurga nanti, sebagaimana Dia juga mentakdirkan kami berukhuwwah di dunia.
Kerana aku sayangkan ukhtiku kerana Allah.
2 comments:
susah nak jumpe kawan yang baik..seumpama ini..ada kawan tapi tikam dari belakang..kepercayaan yang diberi disia-siakan =(
terharunyee post nie hudhud...
Post a Comment