Pages

  • RSS

Sunday, March 17, 2013

seni kematian

Notification di facebook dan message di what's app bertalu-talu masuk. semuanya mengkhabarkan berita kehilangan 2 orang insan hebat di lapangan dakwah, pakcik Jusri dan akh Iman Syafiq.

Penuh newsfeed di facebook insan-insan yang hidup di sekeliling mereka memberi penyaksian akan kebaikan dan amal soleh yang mereka curahkan selama hayat mereka, terutamanya setelah berkenalan dengan dakwah dan tarbiyah.

Antara keduanya, kisah kematian akh Iman Syafiq lebih memberi kesan ke dalam jiwaku. mungkin kerana usianya yang sebaya denganku membuatkan aku tertanya-tanya dan cemburu. dia diusianya yang muda dan masih bertatih di dalam dakwah ini telah berjaya mengetuk ribuan jiwa di luar sana dengan amal solehnya. Aku hanya termenung.Apa pula amal yang boleh  aku persembahkan kpd Allah saat kematianku nanti? Bagaimana pula  kesudahanku? Baikkah? Atau burukkah?

Kisah akh Iman Syafiq juga mengingatkan aku tentang kematian seorang senior universitiku, akh Ammar pada tahun 2009 yang lepas. Aku pernah menulis tentangnya dalam entri : Aku Cemburukan Dia. Terasa ada persamaan antara kedua akh Iman dan akh Ammar. Mereka pergi di usia yang muda, keduanya adalah penggerak di atas jalan dakwah. keduanya juga meninggal kerana kemalangan jalan raya. Dan yang paling penting, pemergian kedua akh ini telah memberi kesan yang mendalam ke dalam hati mereka yang mengenali mereka, bahkan kepada insan-insan yang tidak pernah mengenali mereka sebelum ini turut terasa kehilangannya.


Kematian yang membangkitkan iman bagi jiwa-jiwa yang telah lama alpa dan leka bergelumang dengan jahiliyah. Kematian yang mengembalikan hamasah bagi jiwa-jiwa du'at yang lesu di dalam dakwah ini, yang telah kehilangan 'rasa' untuk all out di dalam dakwah. Akh Iman telah menunjukkan qudwah kepada para du'at, bahawa jalan dakwah ini terlalu mahal nilainya. Akh Iman telah mengajarkan para du'at bahawa tiada ertinya hidup ini, jika dakwah dan tarbiyah itu tidak dijadikan nadi.



Sungguh, kesedaran itu terlalu mahal harganya sehinggakan dengan kematianmu sahajalah, hatiku dan hati ramainya manusia lain mula tersedar dan bermuhasabah beristighfar.



Sabda Rasulullah:
"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.)

Hadis yang biasa diperdengarkan kepada kita. namun kali ini aku  seperti baru pertama kali membacanya.
Ya, sememangnya orang yang paling bijak adalah orang yang mengingati mati, dan bersedia menghadapi kematiannya.

Kerana manusia sifatnya memang sering merancang kehidupannya. Perancangan kerjaya, pembinaan keluarga, hatta perancangan di dalam dakwah sendiri.

Tetapi manusia sering terlupa untuk meletakkan PERSEDIAAN KEPADA KEMATIAN di dalam perancangan dan timeline hidupnya.

Sedangkan kematian dan akhirat itu adalah sesuatu yang pasti. Manakala dunia ini dan seisinya? Masih kabur. Yakinkah kita bakal hidup sehingga esok hari? Yakinkah kita mampu pulang ke Malaysia membawa ijazah kedoktoran ini? Kita merancang untuk berkahwin, bekerja, membina keluarga. Tapi yakinkah bahawa ajal tidak akan menjemput kita sebelum saat itu?

Imam Hasan Al Banna juga pernah berkata, “Orang yang bijak adalah orang yang mengolah seni kematiannya.”
 
Ya, kematian bisa menjadi seni, bergantung bagaimana kita memahaminya.

Seni kematian apa yang akan kita pilih, itu bergantung pada kita.  Hidup dalam kemaksiatan dan hura-hura, maka seni kematian yang mungkin kita dapatkan tidak jauh dari itu. Sama hal-nya dengan kehidupan yang kita penuhi dengan amal islami dan jihad, seni kematian yang kita dapatkan pun seharusnya tidak jauh dari itu.

Imam Asy-Syahid Hasan Al Banna  juga telah mengukir seni kematiannya, kematiannya di antara desingan peluru sniper ketika melaksanakan amanah dakwah. Asy Syahid Syed Qutub telah mengolah seni kematiannya dengan begitu indah, di atas tali gantung kerana memperjuangkan agama Allah.

Lalu, seni kematian apakah yang akan kita pilih kelak. Sudahkah kehidupan ini menjadi pengukir kematian yang baik nanti? Atau mungkin sebaliknya?

Ah, mungkin masih muda. Masih banyak goresan cita yang ingin diwujudkan. Masih besar harapan kehidupan yang ingin direalisasikan.

Namun, tiada siapa pernah tahu bila saatnya Izrail bakal menjemput dan mencabut nyawa dari tubuh.
Mungkin hari ini? Esok lusa? 10 tahun lagi? wallahu a'lam.

Maka, benarlah hanya orang yang bijak akan mengolah seni kematiannya. Agar kematiannya tidak sia-sia, bahkan membuahkan amal-amal soleh dan pahala yang tidak pernah putus sehingga kiamat. Kuncinya? DAKWAH. dan berdakwah IKHLAS kerana Allah.

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda:

 الدال على الخير كفاعله
Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan (hidayah),  pahala orang yang membuat kebajikan itu akan sampai kepadanya, tanpa ada sedikit pengurangan pun.

Ya, dengan dakwah lah, kau mampu menjana pahala yang berlipat kali ganda, yang tidak akan putus walaupun kematian menjadi pemutus kepada amal solehmu sendiri..

Muhasabah untuk diri sendiri.

Kembalilah mengolah kehidupan dalam mengukir seni kematian terbaik. Kembalilah melantunkan doa-doa agar Allah matikan dalam syahid, dalam seni kematian terindah yang pernah ada di muka bumi ini.

Allahummaghfirlahum warhamhum wa3afihim wa3fu3anhum.

Moga Allah tempatkan ruh Akh Iman Syafiq dan Pakcik Jusri di kalangan orang-orang soleh dan berjihad di atas jalanNya. Dan moga Allah memberikan kekuatan kepada keluarga mereka, serta ikhwah akhawat untuk terus tabah dan redha dengan ketetapanNya.

Ketahuilah, dakwah tidak rugi sedikit pun dengan kehilangan mereka. Perjuangan ini tidak kehilangan apa-apa dengan pemergian mereka. Kerana hakikatnya, dakwah dan perjuangan ini tidak memerlukan sesiapa. Dan hakikatnya, kitalah yang berhajatkan kepada dakwah itu untuk selamat di akhirat kelak.

Wallahu a'lam.

(baca kisah Akh Iman yang dinukilkan oleh Akh APG dan Ukhti Aisyah Muharikah)

0 comments: