Pages

  • RSS

Friday, June 28, 2013

fansalakha

Bacaan Al-Quran terhenti. Aku menghela nafas panjang, dan menatap lama baris ayat 175 hingga 177 dari Surah Al-A’raaf  itu. Tiga ayat yang dibaca seakan menusuk ke dalam hati. Aku kah orang itu? Aku kah yang digambarkan dalam ayat ini? 

Mata mula merasa panas dan berkaca. 

Surah Al-A’raaf, antara surah kegemaranku. Antaranya disebabkan surah ini banyak mengandungi kisah-kisah para nabi dan rasul yang terdahulu, yang membuatkan menghafalnya lebih mudah dan menarik, sambil cuba membayangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada para anbiya’ tersebut.  Dan kisah yang pernah memberi kesan kepadaku adalah kisah tentang sejarah permusuhan antara Iblis laknatullah dengan manusia, seperti yang  terkandung di dalam ayat 11 hingga 18.

11.Kami berfirman kepada para malaikat, “Bersujudlah kamu kepada Adam” maka mereka sujud kecuali Iblis. Ia (Iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud.

12.(Allah) berfirman, “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab: “Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”

13. (Allah) berfirman, “Maka turunlah kamu darinya (syurga); kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina.”

14. (Iblis) menjawab, “Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan.”

15. Allah berfirman, “Benar, kamu termasuk yang diberi penangguhan waktu”

16. (Iblis) menjawab, “Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus,

17. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari DEPAN, dari BELAKANG dari KANAN dan dari KIRI mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.”

18. (Allah) berfirman, “Keluarlah kamu dari sana (syurga) dalam keadaan terhina dan terusir! Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka ada yang mengikutimu, pasti akan Aku isi neraka jahannam dengan kamu semua.”

Benar, kisah perbualan di antara Allah dan iblis ini telah berlaku sekian lama, seawal penciptaan Nabi Allah Adam alaihissalam. Namun Allah masih menginginkan agar perbualan ini dirakamkan di dalam kitabNya Al-Quran, supaya dibaca dan dijadikan peringatan kepada kita ummat akhir zaman. Supaya ummat Muhammad ini tidak lupa, bahawa sang iblis laknatullah sememangnya musuh mereka yang utama, yang pernah berjanji di hadapan Allah untuk menyesatkan manusia sehabis upayanya!

Aku teliti lagi tiga ayat yang kubaca tadi. Ayat 175 hingga 177 dari Surah yang sama.


 وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِىٓ ءَاتَيۡنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ

175. “Dan bacakanlah (Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia MELEPASKAN DIRI dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang yang sesat”

Hati rasa tertusuk-tusuk. Seolah-olah Allah sedang berbicara secara langsung kepadaku. Seolah tiga ayat ini memang ditujukan kepadaku.

Ya, akulah orangnya yang telah diberikan Allah hidayahNya, untuk menggabungkan diri di dalam gerabak dakwah ini. Aku yang dengan izin Allah dan rahmat kasih sayangNya,akhirnya sedar tentang hakikat penciptaanku sebagai seorang hamba dan khalifah.Tetapi aku sering lupa, iblis dan syaitan yang hidup beribu tahun lamanya itu tak pernah putus asa untuk menyesatkan manusia, hatta para daie tidak terkecuali. 

Tidakkah kita sedar, tatkala hati mula rasa bosan dan jemu dengan urusan dan kesibukan dakwah, tatkala jiwa meronta-ronta mahu melarikan diri dari qodhoya dakwah yang menyesakkan dada dan menuntut masa dan fikiran, tatkala keluhan diluahkan apabila masuliyyah dakwah datang bertimpa-timpa di hadapan kita, tatkala kita lebih mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan dakwah.

Tidakkah kita sedar, semuanya itu merupakan petanda dunia mula menapak di dalam jiwa kita, dan syaitan mula melabuhkan sarangnya di dalam hati kita?

Jahiliyyah para du’at itu kadangkala tidak secerah matahari. Du’at itu mungkin terpelihara pakaiannya,terjaga amal solehnya, dikagumi akhlaknya. Tapi bagaimana dengan hati? Adakah ikhlas mengiringi setiap amalan? Apakah redha Allah yang dicari dalam setiap langkah dan tindakan?

Jahiliyyah para du’at itu, datangnya secara berperingkat, perlahan tanpa disedari. 



Kerana itulah Allah menggunakan kalimah “fansalakha” untuk menggambarkan perihal du’at yang perlahan-lahan melepaskan dirinya dari tuntutan dakwah. Kalimah fansalakha yang juga menggambarkan keadaan ular yang sedang bersalin kulit. Sang ular menanggalkan kulitnya yang pernah menjadi sebahagian dari dirinya, dan perlahan-lahan pergi meninggalkan kulitnya yang lama.

Begitu juga para du’at. 

Syahadatul Haq yang pernah satu ketika dahulu mengegarkan jiwanya,dakwah yang pernah menjadi sebahagian dari hidup dan nadinya. Sayang, keterujaan dan hamasah itu tidak lagi dirasakan kini, bahkan du’at itu perlahan-lahan mahu lari dari menanggung kewajipan yang maha berat itu.

Tanpa disedari, “fansalakha”, du’at itu cuba melepaskan diri dari ayat-ayat itu.

Maka tunggulah! Du’at itu akan mula  diikuti oleh iblis dan syaitan, yang sentiasa mengintai peluang untuk menyesatkannya. Iblis yang tak pernah jemu menggoda manusia dengan alhawa’, dan takkan redha sehinggalah manusia itu menjadi pengikutnya dan temannya di neraka!

Ya, selayaknya du’at yang meninggalkan dakwah menjadi teman sang iblis di neraka, kerana keduanya berkongsi kisah yang sama. Bukankah iblis juga pada awalnya merupakan makhluk Allah yang taat dan kemudian menjadi makhluk yang paling dilaknat kerana kufur dan ingkar untuk sujud kepada Nabi Adam alaihissalam? Maka apa bezanya iblis dengan du’at yang ingkar dengan perintah Allah untuk melaksanakan Syahadatul Haq setelah hidayah pernah menyapanya suatu ketika dahulu?


 وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ

176. “Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami tinggikan (darjatnya) dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia CENDERUNG KEPADA DUNIA dan MENGIKUTI KEINGINANNYA (yang rendah)”

Allah berkehendakkan untuk mengangkat darjat du’at dengan dakwah, namun sang du’at lebih selesa memilih kesenangan dunia dan tuntutan nafsu. Masa dan tenaganya bukan lagi untuk dakwah. Dia gembira apabila kesibukan dunia menghimpitnya, agar dia boleh lari dari tanggungjawab dakwah.

Tak cukup masa, sibuk dengan kerja, tiada siapa nak jaga anak, suami tak bagi pergi program, kelas banyak, exam dah dekat, tak cukup ilmu, jauh dari akhawat, blablabla. Apa-apa sahaja alasan akan cuba diberikan dan disogokkan.

Asalkan bukan dakwah.



فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ ٱلۡڪَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُڪۡهُ يَلۡهَث‌ۚ ذَّٲلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا‌ۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ

176. “Maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir”

Maka Allah mengumpamakan du’at yang sebegini dengan perumpamaan yang dahsyat. Dan jijik.

Seperti ANJING yang hina, tiada nilainya, dan tidak dihiraukan sedikit pun.


سَآءَ مَثَلاً ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَہُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ

177. “Sangat buruk perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami; mereka menzalimi diri sendiri”

Begitu lah du’at yang meninggalkan dakwah, sangat hina dipandangan Allah. Walau banyak mana sumbangannya kepada dakwah sebelum ini, tiada nilainya, ibarat amal yang bagai debu-debu berterbangan.

Kerana itu gerabak dakwah ini hanya mampu dinaiki oleh mereka yang IKHLAS dalam perjuangan, dan TSABAT hingga ke akhirnya.
 

*nanges potong bawang T___T*






2 comments:

My Harmonica Zine said...

T_____________T

nanges potong bawang laju-laju. tq atas peringatan. kadang2 kita rase dh penat buat keja, tp nauzubillah jika ikhlas tiada. saling mendoakan supaya kita thabat dan syahid atas jln ini. ameen

Anonymous said...

sedihnye.. Allah tolonglah saye.. asyik terjatuh dan tewas je berkali²... mcm mana ni...